Sunday, November 14, 2010

Ben William di Galas


Jika anda merasa sakit hati melihat aksi pengadil Ben William di dalam perlawanan Malaysia vs China tadi......


Begitulah yang aku dan kebanyakan orang yang berakal rasakan dengan aksi SPR di dalam PRK Galas yang baru lepas. Begitu juga pada PRU-PRU dan PRK-PRK yang sudah-sudah....


Jadi jika anda tak suka dengan tindakan berat sebelah, bangang, tidak professional dan memihak Ben William.... Jujurlah dengan diri sendiri. Tolaklah perasuah yang menyalahgunakan kuasa.


Lu pikir lah sendiri.

Saturday, November 13, 2010

4 Biji Panadol Dari UiTM


Hari ketiga aku di Uitm Shah Alam, kepala terasa panas. Perut pula rasa semacam.


Semasa break minum, aku merapati seorang makcik cleaner.


"Mak cik, di sini mana saya boleh beli panadol?"


"Panadol ya.... Tunggu di sini ya," jawabnya dalam telor Indonesia, lalu berlalu dari situ.


Selang seminit dia muncul semula dengan 4 biji panadol. Aku agak itu mesti dari simpanannya sendiri. Apabila dia nampak aku membuka dompet, cepat-cepat dia berkata,


"Tak payah, tak payah.... Jangan nak. Ambil saja..."Bersungguh-sungguh dia.


"Kalau macam tu, saya ambil 2 biji saja lah..." Kataku.


"Ambil semuanya, ambil saja nak...di situ airnya. Gelasnya ada di situ," dia masih mahu berbudi padaku.


"Takpa la mak cik, dah ada. Terima kasih ye...."


Jika semua orang jujur dalam menolong..... 4 biji panadol yang diberikan secara ikhlas rasanya lebih besar dan bernilai daripada geran tanah yang diagihkan semasa pilihanraya. Semoga makcik cleaner di Uitm ini Allah ganjarkan sebesar-besar nikmat di akhirat kelak. Amin.

Thursday, November 11, 2010

Banjir


Banjir begitu sinonim dalam hidup aku. Sejak kecil boleh dikatakan setahun sekali kami sekeluarga kena berpindah kerana rumah kami dinaiki air. Pernah juga kami berpindah 2 kali dalam seminggu kerana air banjir yang telah surut naik semula.


Paling besar dan dalam air banjir seingat aku pada tahun 1979, semasa aku darjah satu. Rumah kami hanya nampak perabung sahaja. Tenggelam semuanya.


Bila air surut, bukan setakat kena cuci rumah, kadangkala rumah pun senget. Ada tiang rumah yang tumbang. Terpaksalah arwah ayah betulkan dengan daya kreativitinya yang tersendiri.


Dan aku ada menanam azam untuk membawa keluarga aku ke tempat yang lebih tinggi. Supaya musim banjir atau 'puye bah' tidak lagi merisaukan kami. Kami pernah mengetuk pintu rumah jiran pukul 4.00 pagi kerana terpaksa menumpang apabila air naik hampir mencecah lantai rumah kami dengan agak cepat semasa aku dan adik-adik sedang lena tidur.


Itu sudah menjadi kebiasaan apabila tiba musim tengkujuh. Berpindah sudah dijangkakan walaupun hati kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya air tidak naik. Kami tidak pernah menyalahkan Menteri Besar atau wakil rakyat atau exco. Kami tidak pernah mengharapkan untuk bersua muka dengan mereka. Kami tahu satu negeri dilanda banjir, mereka telah ada wakil yang dilantik disetiap daerah dan kampung untuk membantu kami yang ditimpa musibah.


Semasa aku darjah empat, pernah aku melihat petugas yang membahagikan sardin untuk mangsa banjir. Dia bertanyakan kepada ayahku,


"Anak berapa ni?"


"Sepuluh," jawab ayah. Ye lah, anak lapan campur ayah dan mak, sepuluh.


"Ramai te..h....." kata petugas itu dengan nada tak percaya dan protes. Dia dengan gaya nak tak nak membahagikan sejumlah sardin kepada ayah.


Peristiwa itu membuatkan aku merasa 'bengkek' dengan petugas itu yang akhirnya berjaya menjadi adun dan MP mewakili parti cap dacing di kawasan aku, walaupun aku tak pernah sekalipun mengundinya.


Macam-macam cerita banjir. Kadang-kadang puak yang bertugas dan menolong adalah kerana mahu menonjolkan parti yang dianggotai. Aku pernah mendengar cerita seorang petugas banjir, Awi Tok Lebai yang memberitahu apabila lawatan Timbalan Perdana Menteri masa itu, Encik Ghafar Baba berakhir di pusat pemindahan banjir, mereka disuruh mengurangkan bekalan makanan yang telah di'pack' yang telah ditunjukkan kepada Ghafar Baba.


Aku terfikir, orang Umno ni, dengan pemimpin mereka sendiri pun mereka pelawok. Orang bawah tipu pemimpin, pemimpin tipu orang bawah. Tak habis-habis menipu...


Sampai sekarang cerita banjir menjadi modal politik untuk sesetengah orang. Itu lu punya pasallah nak jadi bangang. Kami yang kena pindah juga yang kena basuh rumah nanti. Almari baju dan kerusi meja kami juga yang rosak. Kami redha dengan ujian Allah. Anak beranak kami selamat dah kira syukur yang amat sangat.


Tahun ini, berkat kerjasama kami adik beradik yang pernah makan sardin 'tak ikhlas' dahulu, insyaAllah mak tak perlu lagi berpindah jika air naik. Jika ayah masih ada, dia tak perlu lagi 'menghina' diri memberitahu ada sepuluh mulut yang perlu dia suapi.


Rasa nak menangislah pulak......(11.34 mlam Hotel UiTM, Shah Alam).

Tuesday, November 9, 2010

Teka-Teki



You are in a car together with your buddy, heading for Ambank Kuala Kuala Terengganu to give some money (lotsa money...) to the bank. Then you see a space man....


What would your buddy dude say to you?

Friday, November 5, 2010

Suatu Penantian


Air mata Mail mengalir keluar tanpa dapat ditahan. Anak-anaknya 5 orang yang berada di tangga rumah ditenungnya dalam-dalam. Dia berasa gagal sebagai seorang bapa. Gagal dalam memberikan keselesaan dan kebahagiaan kepada anak-anak dan bininya.


Dia telah berusaha, tetapi mungkin itu saja rezekinya. Kalau anak seorang dua, mungkin dia mampu memberikan mereka sedikit kesenangan. Ini berceretek. 3 orang di sekolah rendah, 2 orang di sekolah menengah, seorang sudah pandai berjalan-jatuh, seorang lagi masih dalam buai.


"Ayah janji ye...." anaknya yang darjah 3 sempat berkata semasa bersalam dengannya.


"Ye la ayah, Amir malu la ayah...kasut ni dah koyak rabak. Kasut tahun lepas lagi ni ayah," anaknya yang darjah empat pula menyampuk.


"Kita tunggu ye," Mail menjawab menyedapkan hati anak-anaknya. Mana dia nak cekau duit nak beli kasut sekolah baru untuk anak-anaknya. Sekarang hari-hari hujan. Tak dapat dia menoreh. Hidup mereka kais pagi dapat belanja sekolah anak-anak, kais petang dapat dinner.


"Tunggu apa ayah? Dari dulu ayah kata tunggu, tunggu, tunggu.... Tahun lepas lagi kena tunggu, tunggu apa ayah?" Amir yang banyak mulut bertanya dengan nada protes.


"Tahun depan ayah beli la kasut sekolah baru, jom kita pergi sekolah," Adila anak sulungnya yang berada di tingkatan 3 menyedapkan hati adik-adik.


"Tapi ayah tunggu apa?" Tanya Amir tak puas hati.


"Nanti lah. Ada nanti rezeki kita," jawab Mail lagi. Masih sama.


"Tunggu apa?" Tanya Asfar, yang darjah 2.


"Ye la ayah, kita kena tunggu apa?" Tanya Amir, darjah 4.


"Cakap la ayah, apa yang ayah tunggu?" Tanya Aidil Zaquan, tingkatan 1.


"Kita kena tunggu apa ayah?" Desak Ahmad Maslan, darjah 3.


"Ye lah ayah. Dari dulu ayah kata tunggu. Pelik juga," Adila, yang sulung tingkatan 3 juga menyertai demonstrasi mendesak ayah mereka.


"Kita tunggu je wakil rakyat tempat kita ni mati....." Jawab Mail. Entah anak-anaknya faham atau tidak...

Wednesday, November 3, 2010

Monday, November 1, 2010

Penyokong The Red Warriors Masih Dibuai Mimpi



Penyokong setia al-Hamra' sudah boleh tidur lena. Tapi jangan lama-lama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...