Monday, February 7, 2011

Tipu Sunat ?

Suatu hari di tahun lepas, anak dara aku yang baru sembilan tahun bertanya.

“Abah, ustaz royat orang perempuan keluar haid. Orang lelaki keluar air manis, betul ke abah?”
Para ayah perlulah lengkapkan diri dengan pengetahuan
fardhu ain dan mesti pandai loyar buruk

Terpaku juga aku dengan soalan itu. Lantas membetulkan.

“Bukan air manis. Air mani”

“Kenapa keluar air manis...air mani tu abah?” Banyak bertanya la pulak budak kecil ni.

“Bila orang lelaki mimpi....”

“Mimpi apa abah?” Ishhh.... Bila nak berhenti bertanya ni....

“Mimpi bertemu orang perempuan....” Aku cuba menjawab sejujur dan sewajarnya. Agar dapat difahami oleh budak-budak.

“Abah pernah keluar air manis?” Heiii budak ni, kenapa bertanya tak habis-habis ni.

“Pernah la.....” aku menjawab hendak tak hendak.

“Siapa perempuan yang abah mimpi?” Alamak...Apa jenis soalan ni?

“Hmm....Mestilah mama....”

“Abah ni jahat la....” Konklud anak aku.

Aku sendiri pun terasa jahat kerana terpaksa bermain politik untuk jawapan yang terakhir. He he he...Adoiii..

Sunday, February 6, 2011

Pengaruh Cikgu Mala ?


Untuk lebih lanjut, tanya Ustazah Salsabila, 10 tahun.
Kalau Chua Soi Lek nak kata anak kecil aku ni ekstrem, lantak dialah. Aku bukan pernah pangkah MCA pun. Umno pun tak pernah. Harap maklom..

Saturday, February 5, 2011

Raja Yang Murka

Taklah boring sangat jalan jem kalau
dapat cuci mata macam ni
Dari Pasir Mas ke Chendering 5 jam? Lama tu.

Memang lama sebab kereta banyak betul atas jalan hari ni. Layan je la bawak kereta slow-slow.

Selepas hantar adik di Wakaf Tapai, aku singgah di stesen minyak Shell. Aku ke tandas untuk melunaskan hajat. Ye lah naik cramp urethra aku tahan kencing. Malas nak berhenti tadi sebab kereta berderet-deret.

Sampai di belakang stesen kena tunggu turn pula. Hanya satu tandas iaitu tandas lelaki yang dapat digunakan. Tandas yang satu lagi masih elok, bersih. Tetapi tiada pintu. Entah bila tercabut, sedangkan stesen minyak ni baru 3-4 bulan beroperasi.

Ganas betul orang kita. Atau kualiti barang kita yang teruk? Dah begitu takkan towkay stesen minyak tak reti nak repair?

“Ishh...Macam kat Jepun takde pintu. Tapi tandas Jepun ada juga tabir plastik,” aku berkata kepada seorang makcik yang turut menunggu turn di tandas lelaki. Memang aku pernah tengok tandas awam di taman-taman sekitar Shibuya-ward dekat Tokyo International Center yang hanya ada tabir plastik.

Kalau ikut teori perdagangan dan keusahawanan yang aku belajar semasa di tingkatan 1, pelanggan adalah raja. Jadi kalau beginilah stesen minyak ini melayan pelanggannya. Ramailah raja yang kecewa dan murka hari ini.

Friday, February 4, 2011

Mesir 1 - Malaysia 1

Pengaruh Mesir di Malaysia sungguh mendalam. Daripada makan kebab, hisap syisya, tarian gelek, sehinggalah kepada politik, banyak yang dipengaruhi oleh Mesir. Banyak yang kita ceduk daripada Mesir. Positif kita ceduk, negative pun kita ceduk.
Hoi Pisang, Turunlah...

Pemimpin kita pun ramai juga yang meniru atau secara tidak sengaja tertiru stail pemimpin Mesir. Ada yang meniru gaya firaun besar. Ada yang meniru gaya firaun kecil. Ada juga pemuka-pemuka yang meniru Haman, penasihat Firaun. Tak kurang juga yang meniru kecekalan Nabi Musa dan Nabi Harun berdakwah di Mesir dahulu.

Pejuang kemerdekaan kita dulu pun banyak terpengaruh dengan gerakan menentang penjajahan di Mesir. Banyak tulisan dan idea-idea pembaharuan yang dibawa masuk daripada Mesir dan mempengaruhi pemikiran orang kita. Parti Islam di Malaysia pun boleh dikatakan berketurunan daripada Ikhwan Muslimin di Mesir.

Ramai orang kita yang pandai agama berkelulusan daripada Mesir. Mereka balik ke Malaysia dan meneruskan pemahaman masing-masing. Yang faham Umno, akan buat kerja dan makan gaji dengan Umno. Yang faham Pas, akan buat kerja dan berjuang untuk Pas. Kalau mereka ditemukan di atas satu pentas dan berdebat dalam Bahasa Arab kan elok.

Sekarang Mesir dilanda perjuangan rakyatnya untuk menuntut pembaharuan dan keadilan. Mereka tidak mahukan lagi pemimpin mereka Hosni Mubarak yang pro-Yahudi dan rasuah. Krisis Mesir ini secara fizikal dan secara tidak langsungnya mengenai kita juga.

Pelajar kita yang ramai di sana secara langsung terpalit dengan isu ini. Ini adalah kesan langsung pada masa ini yang perlu kita tangani. Apa juga yang bakal terjadi selepas ini sudah semestinya akan memberi kesan kepada apa jua aspek kehidupan di Malaysia. Kerana Mesir dan Malaysia secara sejarahnya begitu sinonim, ibarat paha kanan dan paha kiri. Jika tidak masakan Syeikh Abdul Wahib bin Ismet Ulam Raja berpantun begini semasa mengayat anak saudagar penipu, Sadiq Segaraga.

Kaki bukan sebarang kaki

Kaki diimport dari Egypt

Lelaki bukan sebarang lelaki

Ini lelaki Abdul Wahib



Thursday, February 3, 2011

Rahsia Kejayaan Budak Sekolah MARA Dulu-dulu

Thoroughbred ye.. bukan bread.
typo  error je.
BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK!

Seorang kawan aku ditimbuk atas belakang oleh Cikgu Azid.

Kami sebenarnya sedang berkerumun menghadap papan kenyataan untuk melihat markah peperiksaan yang baru berlalu. Hari ini result peperiksaan perdagangan yang keluar. Cikgu perdagangan tersohor MRSM KB, Cikgu Azid sedang berada di hadapan papan kenyataan. Ramai pelajar yang mendapat habuan masing-masing daripada Cikgu Azid.

Kawan aku yang kena penimbuk tadi mendapat C4. Sebab itulah dia kena empat biji penimbuk daripada Cikgu Azid. Cikgu Azid memang tersohor dengan penimbuk. Bukan sedikit pelajar yang telah makan penimbuknya. Cikgu Azid ni unik orangnya. Dia bekeng tetapi kelakar. Garang tapi lawak. Sebab itu kadang-kadang penimbuknya diterima sambil ketawa oleh pelajar. Cikgu Azid memang best. Kalau takde penimbuk, lagi best kot.

“Awak dapat gred berapa?” Cikgu Azid bertanya kepada seorang kawan aku.

“P8....”

BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK! BEDEBOK!

BERDEBOK! BERRDEBOK! BERRRDEBOK! BERRRRDEBOK!

Mak oiiii. Lapan bijik penimbuk yang diterima oleh kawan aku yang malang itu. Tapi dia sengih saja.

“Awak?” Soalan Cikgu Azid beralih kepada Sin. Pelajar MRSM KB batch 13 yang paling tersohor.

“A2 cikgu,” jawab Sin dengan bangga.

BEDEBOK! BEDEBOK!

Walaupun Sin mengelak, tetapi kena juga dia penimbuk Cikgu Azid.

“Cikgu...Takkan A2 kena timbuk juga?” Sin memprotes. Dia ingat dengan gred A2 dia boleh lepas. Pelajar-pelajar lain gelak sakan.

Aku mengintai-intai nama aku di atas. Tiada.

Di tengah. Tiada.

Di bawah. Ada.

Alamak. Gred C6? Aku tengok markah 68%. Sebelum aku kena penimbuk, baik aku blah cepat-cepat. Meninggalkan Cikgu Azid yang tengah berpesta menimbuk budak-budak.

Aku pergi ke bilik guru. Menemui Cikgu Zakaria yang mengajar perdagangan kelas aku. Faraday 1.

“Cikgu.... Boleh saya semak markah periksa saya?” Aku bertanya Cikgu Pokya.

Cikgu Pokya membelek kertas jawapan yang berlambak atas mejanya. Kemudian dia mencabut satu kertas.

“Ramli... 68... Awak punya?” Cikgu Pokya berpaling tepat ke muka aku.

Aku mengamati kertas jawapan aku. Dan.....Yesss...

“Cikgu, saya dapat 68/75 ni bukan 68%.... Silap ni cikgu,” aku memberitahu Cikgu Pokya.

Memang Cikgu Zakaria tersilap menulis markah aku 68%. Sebenarnya 68/75. Dah 90% lebih tu. Memang aku rasa aku telah menjawab kertas perdagangan dan keusahawanan dengan baik. Sebab itu aku berani jumpa Cikgu Zakaria.

Nasib baik. Kalau tidak free-free saja aku dapat penimbuk Cikgu Azid 6 bijik.



Tuesday, February 1, 2011

Inikah Punca Umno Menang Bergaya di Tenang ?

Ramai lagi ke species yang taksub dengan keris?
Berita dari Harian Metro, entah siapa punya dok atas meja di pejabat.


Memang keris masih menjadi pujaan ramai siang dan malam, kemarau dan banjir.

Apa yang tersurat? Apa yang tersirat?

Motivasi Jangan Manipulasi


"Bila bercakap depan khalayak,
jangan syok sendiri," aku bermonolog

Terus terang cakap. Aku paling tak minat nak pergi kursus motivasi. Bukan sebab aku dah cukup motivasi dan tak memerlukannya. Tidak. Kadang-kadang macam tak berpijak di bumi nyata.

Pakar-pakar motivasi sering menjadikan modal ceramah cerita orang lain yang datang berjumpa dengan mereka. Mereka adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan sesuatu masalah, hingga kepada masalah yang paling peribadi. Nah! Kemudian masalah itu dikongsikan dengan semua orang di dalam ceramah. Termasuk di TV-TV. Siap menjadi joke lagi.

Apa perasaan individu yang meluahkan masalah kepada pakar tadi? Dia nak marah openly tak boleh, nanti satu Malaya tahu dialah makhluk yang dilipur-larakan oleh pakar motivasi tersebut. Memendam perasaaan aje lah.

Pernah aku dipaksa mendengar ceramah motivasi seorang ustaz askar pencen. Memanglah menarik. Dia pandai bemain kata-kata. Pengalamannya banyak. Cerita-cerita teladan yang diselitkan dalam ceramahnya pun memang menarik minat ramai. Cerita Israeliyat yang orang tak pernah dengar memang akan menarik perhatian ramai pendengar. Bagi pendapat aku, jika kita dah tahu suatu kisah itu Israeliyat, buat apa di wara-warakan kepada orang lagi. Apa tujuan cerita-cerita Israeliyat ni? Ustazlah yang lebih tahu.

Ada juga penceramah motivasi yang suka bermain dengan emosi pendengar. Ini aku paling menyampah. Sengaja direka cerita-cerita dan kisah kehidupan yang sedih dan menyayat hati. Ada juga yang mengungkit kisah jerih perih ibu ayah membesarkan kita. Sampai ada yang berkisah tentang seorang ibu yang mengutip beras yang tumpah di atas bas! Kisah seorang ibu yang ditempatkan di pondok sebesar reban ayam di belakang banglo anaknya! Celaka! Emosi siapa yang tidak tersentuh dengan bidaah sebegini? Apalagi jika dalam keadaan lampu disuramkan. Hosni Mubarak pun akan teresak-esak di kaki piramid mendengar kisah ini.

Semasa aku menjadi guru dulu ada pelajar SPM bertanya kepada aku di kala SPM semakin hampir.

“Cikgu, elok ke saya nak join kursus motivasi 2 hari ?”

“Molek! Tapi kalau awak belum habis baca dan revision lagi, baik baca buku dan buat latihan semasa 2 hari tu,” itu jawapan aku.

Akupun pernah berkursus motivasi untuk menjadi ‘A’ Star Student. Memang dipaksa la ni. 2 hari. Alangkah baiknya kalau 2 hari tu aku habiskan mengulangkaji pelajaran dan buat homework Applied Maths yang menimbun. Bagi aku dapat menyelesaikan masalah Applied Maths dan Physics adalah satu motivasi diri yang amat berharga dan tak terucapkan.

Tambahan pula bila cikgu-cikgu pun bagi ‘ a pat on the back’ dan tulis kat buku kita ayat-ayat pujian dan motivasi. Itu lagi menambah perisa. Aku pernah dipanggil Cikgu Hairiah sejurus selepas kelas Kimia semasa A-Level.

“Ramli, jumpa saya kat luar sekejap....” Aku hanya menurut cikgu yang rupa dan potongannya mirip Primadona Cher atau nama betulnya Cherilyn Sarkasian La Pierre ini.

Di luar pintu kelas Cikgu Hairiah berkata.

“I didn’t expect you to know the answer to that question just now. Bijok palo otok,” dia tersengih dan terus berlalu. Meninggalkan aku terkedu di situ. Nah! Inilah motivasi yang cikgu-cikgu perlu selalu terapkan. Tak payah bayar sesen pun. (Maaf ye, sekali-sekala puji diri. Bukan nak riak, tapi nak royak).

Kita memang perlu selalu diingatkan dan dimotivasikan. Bukan dimanipulasikan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...