Monday, September 17, 2012

Better The Devil You Know

Mikail Gorbachev
Hari ini genap lapan purnama Raisa menjanda. Janda lawa anak dua. Itulah title yang Raisa pegang sekarang. Bukan tak ada orang yang mahu memperisterikan Raisa, berlambak. Hakikatnya Raisa sendiri pun sudah jemu hidup berseorangan. Tidur berseorangan. Membesarkan anak 2 orang seorang diri tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi cukup perit bagi Raisa. Namun Raisa masih dalam membuat perkiraan.

Adi, jejaka warak yang tinggal di sebelah masjid sudah lama menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Raisa. Begitu juga Nuar, duda ganteng yang sudah lama berpisah dengan isteri pertamanya juga ada menzahirkan impiannya untuk menyunting Raisa. Malah Guan, tauke Cina kaya juga katanya sanggup masuk Islam jika Raisa sudi berkahwin dengannya. Namun Raisa masih belum dapat membuat keputusan.

Masalah utama Raisa adalah bekas suaminya, Adet. Setelah lapan purnama ditinggalkan. Setelah lapan purnama Adet membiarkan Raisa berkais pagi-petang menyara 2 anaknya yang masih kecil. Setelah lapan purnama Raisa dibiarkan menderita mental dan fizikal. Akhirnya Adet muncul dengan kata-kata maafnya. Adet muncul dengan janji-manis romantika d'amor nya.

Selama lapan purnama ini Raisa sudah puas berfikir dan cuba melupakan Adet. Cuba membuang jauh-jauh cintanya yang masih bersisa kepada Adet. Cuba mengubati sakit fizikalnya bekas tamparan dan henyakan Adet. Pipi cantik Raisa sehingga sekarang masih bertampuk hitam seperti Muhyidin Yassin dek penangan tangan kasar Adet. Puncanya kerana Raisa menyoal perihal bau minyak wangi perempuan yang melekat di baju Adet.

Raisa juga pernah diterajang kerana membasuh baju Adet bersama-sama dengan tiket TOTO yang tersimpan di dalam kocek baju itu. Bukan menang pun nombor yang ditikam Adet, namun Raisa menjadi tempat Adet melampias nafsu kalah judinya.

"Maafkan abang...." Itulah kata-kata pujukan Adet apabila mood dia baik semula. Apabila Raisa diam dalam geram, Adet akan berkata pula.

"Kesianlah abang ni sayang. Abangkan anak yatim," Akhirnya lembut juga hati Raisa. Lagipun Raisa tahu, taat seorang isteri kepada seorang suami amatlah dituntut agama Islam.

Sehari-dua, Adet balik mabuk-mabuk lagi. Bau minyak wangi perempuan lagi. Kesan gincu sana-sini lagi. Apalagi, Raisa lagi yang kena penampar lagi.

"Maaf yang, abang mabuk semalam..."

Adet bukan setakat mabuk arak. Saham arak pun dia beli. Saham Carlsberg, saham San Miguel, beratus lot dia beli. Cepat untung, cepat kaya katanya.

Semasa tahap mabuk Adet memuncaklah dia menceraikan Raisa lapan purnama lalu. Padahal perempuan secantik Raisa, kalau tak gosok gigi lapan hari pun, manager bank masih tergila-gila nak buat isteri. Nah! Sekarang Adet bagai gila talak lagaknya. Apalagi bila dia mendapat khabar Raisa telah dirisik oleh Adi, Nuar dan Guan.

"Raisa sayang, Adi tu miskin. Susah kalau hidup dengan dia. Nanti anak-anak nak makan apa? Nak sekolah macam mana? Hidup ni tak cukup dengan sembahyang dan zikir sahaja..." Adet memburukkan Adi di depan Raisa. 

"Baik dia lah daripada abang tu yang tak kenal tikar sembahyang," jawab Raisa.

"Siapa kata abang tak sembahyang. Abang sembahyang, tetapi abang tak tunjuk kat orang. Abang beribadat secara wassotiyah, tak menunjuk-nunjuk," Adet membela dirinya. Raisa hanya membisu sambil memandang kereta Lamborghini Adet di laman rumah. Sebijik macam kereta tauke ikan bakar di Sekinchan.

"Raisa, you tahu tak Nuar duda yang tergilakan you tu homo...." Adet mula buka cerita lain.

"Abang jangan nak buat fitnah pulak!" Potong Raisa cepat-cepat.

"Isk.. Tak percaya? Abang ada video dia. Kalau tak percaya juga, tanya kawan dia si Guan rasis tu," bersunguh Adet membuat cerita.

"Abang dulupun selalu pergi kelab malam, mabuk, main perempuan...." Raisa mengungkit kisah lama.

"Itu dulu, abang dah transformasikan diri abang sekarang. Percayalah janji abang, abang memang jenis yang janji ditepati punya. Kahwinlah semula dengan abang," pujuk Adet.

Raisa diam berfikir. Sesekali matanya menjeling Lamborghini di laman. Memang Adet kaya, banyak duit. Namun dia suka mengungkit pemberiannya. Dulu, lima-enam bulan dia mengungkit-ungkit duit RM500 yang diberikan kepada Raisa untuk buat belanja di spa. Paling teruk dia mengungkit pula duit RM100 seorang yang diberikan kepada anak-anak mereka untuk beli buku sekolah.

"Demi anak-anak, generasi pewaris kita, terimalah abang semula," rayu Adet bersungguh-sungguh.

"Tapi......" Raisa masih teragak-agak.

"Abang tahu dulu abang jahat. Tapi Raisa kenal abang, Raisa tahu hati budi abang. Mereka yang mahukan Raisa itu Raisa belum tahu hati budi mereka..... Bak kata pepatah, better the devil you know," mendayu-dayu suara Adet.

Better the devil you know?

Perkataan itu menyentap hatinya. Itulah tajuk lagu yang cukup diminatinya yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi Sonia dari United Kingdom dalam pertandingan Eurovision tahun 1993. Lagu inilah yang didendangkan oleh Raisa di atas pentas pertandingan Ratu Kebaya yang dimenanginya 3 tahun lalu. Hati Raisa mencair bagai salji dimusim bunga apabila mendengar Adet mengungkapkan kata, 'better the devil you know'.

Kini sudah 3 purnama Raisa rujuk baik dengan Adet sekaligus menghancur ranapkan impian mahligai syahdu Adi, Nuar dan Guan. Namun disangka panas sampai kepetang, rupanya hujan pukul sepuluh pagi lagi. Raisa sekarang kembali berendam air mata. Adet masih dulu, kini dan selamanya penagih arak, kaki perempuan, tahi rasuah dan pemurah dengan penampar. Tampuk bera hitam seperti Muhyidin Yassin di pipi kanan Raisa yang belum hilang akibat henyakan Adet dulu, kini telah bertambah dengan tompok hitam pecah darah di dahi sebijik macam Mikhail Gorbachev, bekas Presiden Rusia hasil henyakan terbaru daripada Adet.

Raisa kini menyesal sambil menunggu edah kali keduanya yang entah datang atau tidak.
.
.
**Cerita rekaan penulis sahaja. Jika terasa, harap maaf. Itulah asam garam kehidupan yang fana ini.

Friday, September 14, 2012

Makan Tempe Nak Jadi Genius



Di tahun 1987 dahulu, masa tingkatan 4 di MRSM Kota Bharu, Reagan, kawan aku yang baru pulang dari Kem Budak-Budak Pandai & Rajin di Selangor telah mempromosikan makanan tempe kepada kami.

"Kata motivator kat sana, makan tempe boleh mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang," beritahu Reagan yang baru dinobatkan sebagai top student MRSM Kota Bharu dalam SRP (Sekarang PMR) tahun 1987.

Apa lagi kami budak Kelantan yang selama ini peminat tegar budu cuba beralih arah kepada tempe. Sapa tak nak jadi genius woii...

Aku pun tak terkecuali, tambah pula kalau tempe goreng dengan ikan bilis, memang faveret aku la tu. Sekarang, bila dah berkeluarga, aku cuba ajar anak-anak makan tempe, yelah kan, takkan aku nak genius sorang-sorang dalam famili, anak-anak pun mestilah genius sama. Tapi seorang pun anak-anak aku tak mahu makan tempe. Tak mbohhh... Kata mereka. 

Semalam 13 September 2012, aku tengok dalam berita, satu lagi rekod tercipta di dalam Malaysia Book of Record. Sempena penutupan minggu kemerdekaan ke 55, Kolej Komuniti Kuala Langat telah bersusah-payah mencipta Jalur Gemilang terpanjang yang diperbuat daripada tempe.

Tempe dibungkus dengan kertas dan disusun memanjang. Lalu dicat dengan warna Jalur Gemilang. Idea 'genius' siapa ini, aku pun tak nak ambil tahu. Namun pastinya dia mestilah seorang pemakan tempe tegar.

Kata satu sumber dari Kolej Komuniti Kuala Langat,

"Pemilihan tempe bagi menghasilkan Jalur Gemilang ini adalah satu usaha untuk memperkenalkan tempe sebagai makanan tradisi masyarakat setempat yang boleh dijadikan sebagai ikon makanan sihat."

Tempe yang telah dijadikan bendera itu akan dijadikan makanan haiwan dan baja. Ye lah, dah terdedah kepada kotoran dan cat, mana boleh makan lagi.

Bagi akulah, sebagai seorang pemakan tempe sejak 1987, kalau nak promote tempe sebagai makan tradisi, buatlah aneka juadah daripada tempe, atau hantar tempe satu kontena kepada pelarian Rohingya atau ke Somalia. Bukannya buat sesuatu yang tak boleh dimakan!

Mulai semalam keyakinan aku sejak 15 tahun lalu bahawa makan tempe dapat mencetuskan 'genius' dalam diri seseorang hancur berkecai. Namun begitu, aku masih akan terus memakan tempe seperti biasa, untung-untung aku akan mendapat khasiat tempe yang lagi satu sepertimana yang telah berjaya dikecapi oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd. Khir Toyo dahulu.



Saturday, September 8, 2012

Mesyuarat Punggung

Sebuah jawatankuasa yang baru dibentuk bermesyuarat untuk menangani masalah seorang budak nakal yang menonggeng punggung ke atas gambar pemimpin negara dan isterinya.

"Kita dakwa saja dia di mahkamah!" Bengis betul suara pencadang pertama yang bermisai tebal.

"Kita nak dakwa bawah akta mana? Seksyen berapa?" Tanya yang lain.

"Cari je la dalam Kanun Keseksaan ke, Akta Hasutan ke, Akta Perjudian ke, Kongsi Gelap ke, Maksiat ke... Budak kurang ajar macam tu tak boleh dibiarkan," pencadang bermisai tebal semakin ketara kemarahannya. Maklumlah gambar pemimpin kesayangannya ditayang  punggung.

"Mula-mula kita buang kolej dulu budak ni, biar dia reti," cadang pula seorang yang songkoknya paling tinggi di dalam mesyuarat itu.

"Jangan musnahkan masa depannya, berfikir dengan otak, jangan dengan punggung tuan-tuan. Kita denda dia cara lain. Budak tu ada masa depan yang cerah," sanggah seorang ahli mesyuarat.

"Peduli apa masa depan dia cerah. Buang saja budak tu dari kolej!" Si songkok tinggi melampiaskan sifat sebenarnya.

"Come on man. Kalau kesalahan merogol budak bawah umur boleh lepas sebab tertuduh 'mempunyai masa depan yang cerah' takkanlah kesalahan tunjuk punggung ini lebih dasyat," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.
"Lagipun budak tu hanya terpengaruh....." Sampuk seseorang.

"Ya terpengaruh dengan pembangkang. PR tu memang sial ajar anak-anak muda berkelakuan biadap," ahli menyuarat bersongkok tinggi mengambil peluang menyerang PR.

"Kepimpinan melalui teladan. Budak ni bukan terpengaruh dengan PR. Dulu ada orang kencing gambar Haji Hadi, Nik Aziz, Lim Kit Siang, ada diambil tindakan? Tak ada, sebab itulah budak-budak sekarang berani tiru," ada juga rupanya ahli mesyuarat yang berani melawan arus.

"Itu pemimpin pembangkang, lain. Ini melibatkan pemimpin negara, Perdana Menteri," jawab si misai tebal.

"Mana boleh beza-bezakan macam tu. Zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang raja yang menampar orang yang terpijak jubahnya yang meleretpun dikenakan qisas tampar balik. Islam tak pilih bulu," seorang lagi ahli mesyuarat menyampuk.

"Budak tu pergi kolej naik apa?" Tiba-tiba pengerusi mesyuarat bertanya.

"Naik Skuter Ego bos," jawab si misai tebal. 

"Beginilah, buat sementara ni, kita hukum budak ini dengan mewajibkan dia mengisi skuternya dengan minyak RON 97," saran pengerusi.

"Wow, RM3 seliter tu bos, duit PTPTN dia tak terjejas ke bos?" celah seseorang.

"Itulah yang kita hasratkan, biar dia suffer dan belajar bersyukur dengan apa yang kerajaan BN buat sekarang ni," beritahu pengerusi.

"Tuan-tuan. Sebenarnya, harga minyak yang naik, memilih bulu dalam tindakan inilah yang membuatkan generasi muda kita sekarang meluat dengan kita dan sanggup tunjuk ponggong kat gambar pemimpin kita. Itu belum cerita lagi pasal rasuah, kronism, berita media yang berat sebelah, tindakan dan kenyataan pemimpin kita yang sering membodohkan rakyat, pembaziran, putar-belit ...." si pelawan arus dalam mesyuarat kembali berkata-kata.

"Betul... Jangan asyik tengok salah orang. Kaji juga apa silap kita," sampuk seseorang.

"Jangan sampai kita mati pun ada orang sanggup kencing atas kubur kita, masih belum terlambat untuk kita berubah," tambah lagi seseorang.

"Kita rehat dulu 15 minit," kata pengerusi sambil menyuap sebiji pau yang gebu ke mulutnya. Memang sejak dari tadi dia asyik memerhatikan pau 2 biji yang berhimpit dalam pinggan dihadapannya. Betul-betul macam punggung budak nakal tu, hisshhh... Fikirnya.

Wednesday, September 5, 2012

Zimmi, Harbi, Bananana

Sezimmi-zimmi bapa saudara Nabi S.A.W iaitu Abu Talib, dikatakan terpaksa juga memakai alas kaki yang amat panas di hari pembalasan kelak kerana enggan mengakui kalimah syahadah semasa hayatnya.

Bukan zimmi atau harbi yang kita orang Islam perlu gaduhkan.

Yang perlu kita runsing adalah agar kita tidak tergolong ke dalam golongan 'munafik'. Nauzubillah.

Wednesday, August 29, 2012

Janji Ditepati

Belum pun pukul sembilan pagi, aku sudah tercongok di foyer library. Hari ini adalah hari yang paling bersejarah dalam hidup aku setakat ini. Seorang lelaki pemalu yang pernah takut kepada perempuan akhirnya akan keluar dating dengan seorang gadis. 

Memang sukar dan berat pada mulanya bagi aku untuk mendekati gadis ini. Namun atas nasihat, motivasi  dan kerja sabotaj kawan serumah, akhirnya aku beranikan diri. Apatah lagi bila kadang-kadang motivasi diberikan bersama petikan gitar si Porom sambil mendendangkan lagu Michael Learns To Rock iaitu 25 minutes.

"Itu baru 25 minit lewat, orang dah sapu...." Bakar si Atuk.

"Yang penting sampaikan mesej kepada si dia iaitu... Hang suka dia..." Sambung pula si Apip.

"Dia nak terima ke tidak, itu soal nombor 2, soal nombor 1.... Biar dia tahu seseorang di sini suka banget sama dia," si Sahak pula berfalsafah lagak pakar cinta.

Akhirnya, entah macam mana magisnya, mesej aku sukakan si dia sampai kepadanya. Tindak balas kimia daripadanya cukup cantik dan positif penuh dengan bunga-bunga dan rama-rama. Entah dari mana datangnya kekuatan, aku akhirnya mengajak dia keluar di suatu kesempatan. Jawapan 'ya' dari si dia membuatkan aku rasakan diri ini umpama emas lapan kilo. 

Dan di foyer ini aku berdiri hari ini, pukul 9.15 a.m. Namun si dia masih belum di mana-mana untuk dilihat.

"Janji di sini pukul 9.00...." Aku mengingatkan diriku. Mana tahu jika aku tersilap tempat janji pertemuan.

Rupanya menunggu orang yang kita suka dan puja adalah suatu nikmat, buktinya sekarang sudah pukul 9.50 a.m., namun aku tiada rasa fed-up atau marah sedikitpun.

Biasanya aku kalau menunggu sesuatu atau seseorang, cukup sekadar setengah jam sahaja. Semasa aku tinggal di Kuala Lumpur dahulu, aku hanya bersabar menunggu bas mini setakat 30 minit sahaja. Selepas itu aku akan berasap walaupun aku terpaksa naik jua bas yang lewat itu.

10.30 a.m., si dia masih belum nampak bayang namun tiada kedutpun di dahi aku.

Kenapa aku tak telefon? Kau tanya kenapa aku tak telefon atau sms atau miss call saja dia? Hei kawan, sudah atau belum aku beritahu engkau bahawasanya ini kisah tahun 1993! Ini memori, past tense bukan present tense. Masa ini handset sudah ada, tetapi hanya ahli korporat sahaja yang pakai. Itupun besarnya mak oiii... Macam bawak Nokia 3310 lapan biji sekaligus! SMS jangan ceritalah, tak terfikir pun lagi masa tu.

10.45 a.m. Mana dia ni...... Tapi aku tak marah sedikit rabutpun.

10.57 a.m. Si dia akhirnya sampai bersama senyuman yang paling manis yang pernah aku lihat. Aku turut tersenyum walaupun dalam hati aku berkata, kalau mak aku tahu hal aku dating ini habislah kaooo.

"Dah lama tunggu?" Sapa si gadis.

Aku yang sudah berada 2 jam di foyer library ini menjawab semesra mungkin agar si gadis tahu yang aku tidak marah atas kelambatannya.

"Dari pukul sembilan I di sini."

"Pukul sembilan? Semalam you kata jumpa kat sini pukul Sebelas...." Si gadis menjadi sedikit keliru.

Oooo.... Patutlah. Tiada isu sama ada si dia yang silap dengar atau aku yang tersilap cakap. Mungkin juga kerana bila hati dah suka, kata di hati dah tak sama dengan kata yang keluar dari peti suara.

Tak penting apa yang si dia dengar, yang penting janji yang si dia cuba tepati.

Monday, August 27, 2012

Cerpen: Khutbah Remote Control Aidil Fitri

Imej dari Blog Pakar Cinta

Belumpun sempat menteri itu bercakap baku, Arip cepat-cepat menekan punat remote control tv. Muak dia mendengar perkataan yang sama diulang-ulang di television yang keluar daripada mulut menteri yang berperwatakan aristokrat Philipina itu. Di channel  3, ditayangkan pula kumpulan orang yang kelihatan mengganas yang sedang disembur air seperti sekumpulan budak kecil yang menyertai majlis berkhatan beramai-ramai. Ini pun tayangan wajib ulang berpuluh-puluh kali sehari yang membuatkan Arip naik muak, lantas dia menekan punat remote control tv lagi. Di channel 7, Arip sekali lagi muak dengan drama tak habis-habis seorang makcik yang berjaya meluaskan perniagaannya dengan modal RM500. Arip menukar channel television lagi, kali ini kelihatan seorang bersongkok tinggi sedang bercakap tentang hukum-hakam agama di atas pentas sebelum turun bersalam dengan wanita-wanita yang rata-ratanya berpakaian merah dan putih. Macamlah malam ini ada game bola Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Tup! Sekali lagi Arip menekan punat remote control tv.

“Huh! Tutup terus lagi bagus,” Arip berkata kepada dirinya sendiri.

Arip melihat ke kanannya, Tok Imam Salih termenung panjang di meja makan. Sejak balik dari masjid selepas sembahyang Isyak dan solat sunat taubat tadi, Arip perasan yang papa tidak ceria seperti biasa. Sepatutnya papa gembira kerana esok hari raya aidil fitri. Hari raya adalah hari kemenangan, hari graduasi, sepatutnya papa gembira macam Arip.

Setelah termenung, papa membaca helaian kertas di tangannya. Kepalanya kadang-kadang digelengkan. Semacam tidak bersetuju dengan apa yang terkandung di dalam tulisan itu. Sedari tadi, rasanya sudah berkali-kali papa membaca kertas ditangannya.

“Papa  baca apa tu?” Sapa Arip.
“Ooo.... Ini teks khutbah hari raya esok,” jawab papa.
“Papa berkhutbah ke baca khutbah?” Tanya Arip, cukup tajam untuk dijawab papa.
“Papa kena baca khutbah yang disediakan Majlis Agama, salah kalau kita buat khutbah sendiri,” beritahu papa agar Arip faham.
“Ooo... Tetapi kenapa papa termenung dan asyik geleng kepala?” Tanya Arip lagi.
“Papa kena baca sesuatu yang papa sendiri tak mahu baca, sesuatu yang papa kurang setuju,” papa berterus-terang.
“Mana? Biar Arip tengok,” pinta Arip.

Arip meneliti baris-baris yang tertulis di dalam helaian kertas di tangan papa. Walaupun Arip masih bersekolah rendah jenis kebangsaan Tamil darjah 3, tetapi Arip dapat memahami isi kandungan khutbah yang dia baca. Memang terdapat beberapa statement yang Arip sebagai rakyat Kelantan di bawah kepimpinan ulamak terasa sengal membacanya. Bertambah sengal apabila Arip membaca ayat berikut:

"Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat berhimpun dalam masjid, dalam rumah Allah, bukan di medan-medan, di padang-padang atau di jalanan untuk menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

“Tak apalah papa, nak buat macam mana dah kerja papa jadi tok khatib....” Arip menasihati papa, macam budak besar-besar pulak.
Tok Imam Salih berlalu ke kamar tidur, meninggalkan teks khutbah di atas meja bersama Arip.

***
Usai solat sunat hari raya aidil fitri, Tok Imam Salih naik ke atas mimbar dan mula membaca khutbah hari raya. Nadanya tidak bersemangat seperti biasa walaupun berpeluh dia mencuba. Tiba-tiba Tok Imam Salih berasa pelik dan janggal apabila membaca ayat:

Kita turut menyatakan kesyukuran kerana dapat bermacam-macam nikmat pada hari ini, termasuklah benda sekecil remote control television di rumah kita. Di dalam rumah kita tidak perlu memaksa diri untuk melihat atau menonton berita propaganda yang disuakan kepada kita. Kita ada remote control di tangan untuk cepat-cepat menukar channel television jika perlu. Jika kita asyik menonton berita yang belum pasti kesahihannya, ini boleh menimbulkan keadaan keresahan dan mencetuskan perbalahan dan pergaduhan"

Tok Imam Salih terkedu sekejap selepas membaca ayat itu. Rasanya sudah berkali-kali dia membaca teks khutbah ini sejak kelmarin, tetapi tiada pula ayat berkaitan remote control tv sebagai nikmat tak terhingga di Malaysia sekarang. Pelik... Pelik betul.

Tok Imam Salih menarik nafas dan mengangkat muka melihat beratus-ratus pasang mata para jemaah yang hadir. Tok Imam Salih perasan ramai jemaah yang tersengguk-sengguk mengantuk tadi sudah terbuka luas mata dan menaruh minat pada khutbah yang sedang dibaca. Hebat juga penangan remote control tv ini, fikir Tok Imam Salih. Selain daripada dapat menukar channel tv in a jiffy apabila timbul sesuatu yang tidak ‘diperlukan’ di kaca television di dalam rumah kita, remote control tv juga rupanya dapat mencelikkan mata pendengar khutbah seluas-luasnya.

Nun di tengah-tengah ruang masjid, betul-betul di bawah lampu chandelier,  Tok Imam Salih ternampak wajah Arip tersengih sambil menunjukkan tanda ‘peace’ di bawah dagunya. Bertuah punya budak! Rupanya Arip yang ubah skrip khutbah Majlis ini. Patutlah ada kesan liquid paper...

“Ittaqullah.....” Kung!!!

Tok Imam Salih menyambung semula khutbah sambil menghentak tongkat yang dipegang ke lantai mimbar agak kuat, cukup untuk membuatkan Arip menukarkan tanda peace yang dibuatnya kepada menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.

Sunday, August 26, 2012

Beza Raya Kelantan & Terengganu

Hari pertama masuk kerja hari ni selepas raya. Letih pun belum hilang drive terensut-ensut dari Kelantan ke Kuala Terengganu semalam. Bila jumpa kawan-kawan ambil peluang untuk bermaaf-maafan.

"Selamat hari raya gu, 0-0 deh," kejap aku genggam tangannya.

"Selamat hari raya Cikli, 2-0!," balas dia...

Wei... Baru satu game pun nak bising der. Gua tahu la Kelantan kalah 2-0 baru ni.


Gol pertama Sang Penyu daripada Doe. Imej dari Dunia Warriors.

Orang bentes lu tak apa Daud, lu bentes orang jaga la...Imej dari Dunia Warriors.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...