Tuesday, June 30, 2009

Kelebihan Umno, Kekurangan PAS


Tauke ikan yang menggaji ramai pekerja dan telah lama mampu memiliki Mercedes dengan nombor plet yang ranggi dimomokkan seolah-olah penjaja ikan dengan Honda Samah kerana menjadi calon PAS. Jika sekiranya beliau bertanding atas tiket Umno, pastinya beliau akan diwar-warkan sebagai seorang BUSINESSMAN.


Pemilik kebun getah beratus ekar yang menggaji puluhan pekerja pun kemungkinan akan dipanggil sebagai penoreh getah atau peniaga pok getah jika bertanding atas tiket PAS. Jika atas tiket Umno, pastinya dia disebut sebagai Usahawan Tani Korporat.


Saya percaya kapten kapal terbang hanya akan dipanggil pilot jika bertanding sebagai calon Umno. Jika menjadi calon PAS kemungkinan dia akan disebut drebar sahaja.


Ahli Ekonomi yang pandai baca qunut dalam Umno pastinya akan dipanggil sebagai ulamak professional, tetapi sekiranya dia seorang ayam tambatan PAS, dia akan dicop Erdogan walaupun telah menghafal kitab karangan Syeikh Wahbah Al-Zuhaili.


Banyak lagi kelebihan Umno, tambahlah sendiri.

Monday, June 29, 2009

Dari Guchil ke Manik Urai - 2


Istimewanya Guchil. Kedua-dua calon yang bertanding di Manik Urai adalah warga Guchil.

Sedikit tawarikh:

Bekas Adun Temangan, Kak Som (1990-1999 S46 kemudian Umno) dari Guchil.
Bekas Adun Mengkebang, Azizudin (2004-2008 Umno) dari Guchil (Anak Kak Som).
Bekas Adun Manik Urai, Juki atau Zulkifli (2004-2008 Umno) dari Guchil.
(Kesemua ni, kalau bertanding di Guchil, rasanya kalah praak takorr kata orang Kelate)

Adun Guchil sekarang (PKR), dari entah.... KB kot. Namanya pun aku tak berapa hafal lagi.

MP orang Guchil (Kuala Krai) sekarang, Dr. Mohd. Hatta Ramli dari KL.
YB Khalid Samad pernah bertanding di sini pada 1986 walaupun kecundang.

Bakal MP Gua Musang (InsyaAllah PRU13) Dr. Zulkifli Muhammad, orang Guchil.

Itulah hebatnya Guchil, bisness import dan export YB.

Oleh itu, jika orang Manik Urai mahu mendapatkan tips untuk mengundi calon mana, bertandanglah ke Guchil dan bertanya.

Kalau mengikut catatan tawarikh, orang Manik Urai lebih hebat dan pandai dalam memilih pemimpin. Pada masa PAS Kelantan gawat dengan hanya 2 batu nesan (2 kerusi), salah satu nesannya adalah dari Manik Urai. Tapi entah macam mana pada 2004, mereka sendiri meleburkan rekod bersih mereka.

PRK sekali ini membuka peluang kepada warga Manik Urai membuktikan sekali lagi bahawa 2004 hanyalah satu silap kerot. Isu bagi PRK kali ini adalah sama, kedua-duanya orang luar. Kedua-duanya orang Guchil.

Cikli: Tunggu orang Guchil jadi Adun di Sabah.



Friday, June 26, 2009

Lupa la...

Alamak...

Macam mana boleh terlupa pulak.

Happy birthday to my beloved wife.

Terima kasih atas segalanya.

Sorry kerana tak teringat.

Thursday, June 25, 2009

Orang Yang Patut di 'Ban' Berkempen di Manik Urai


Beberapa tahun dulu, semasa masih bertugas di Perak, aku membawa isteri dan 2 anak gadisku ke Pasar MPKB Kota Bharu Bandaraya Islam. Isteri nak cari kain untuk baju raya.

Dalam banyak-banyak kedai kain di Pasar tu, ada sebuah kedai menjual makanan ringan. Coklat (gula-gula), cikedis, sumi, big top lollipop semua ada.

Anak-anak apa lagi. Itulah kegemaran mereka. Lalu masing-masing mulalah memborong coklat apabila aku beri lampu hijau. Sampai tak muat tangan. Maklumlah mereka hanya berusia 2 dan 4 tahun. Pak Cik penjual berkata,

“Bubuh dalam poket mek...”

Poket baju budak, besar mana sangat. Terlimpah. Lalu aku berkata,

“Mintak plastik Pak Cik”

Aku mengulangi permintaanku kerana menyangka Pak Cik peniaga tak dengar.

“Plastik Pak Cik....”

Dengan muka semacam dan tidak friendlynya Pak Cik tadi berpaling dan berkata,

“Beli coklat tak dapat plastik!”

Aku tersentak. Berdesing telinga. Ada juga orang kedekut hangit meniaga kat sini. Kerana ini bukan pasal aku, tetapi pasal anak-anak aku yang memang dok struggle memegang coklat. Aku jadi hangin.

“Oloh Pok Cik, budak ke nih. Buke nyo beli sikit pong....”

Pak Cik tu buat tak tahu sambil baca Sinar Harian. Aku rasa memang Sinar Harian ada saham dalam membentuk pemikiran Pak Cik ini. Ikutkan hati aku mahu juga aku ................

“Saya bayar la plastik tu .....” Aku terus tak puas hati.

“Plastik tak jual!”

Barua betul. Tak jual, tapi tak bagi apabila pelanggan memerlukan.

Semasa darah aku makin memamalia, Mak Cik kedai sebelah datang bawa plastik sambil mengisyaratkan dengan tangan dan mukanya. Memang aku faham isyaratnya supaya jangan layan Pak Cik tu kerana dia kerek, mangkuk ayun, kedekut taik idung masin dan tak laku satu yen pun.

Aku ingat nak lancar perang je kat Pak Cik tu. Tetapi bila tengok anak-anak dan isteri aku yang terdiam dari tadi, aku menutup kontroversi dengan berkata,

“Tak payah jual la kalu macam ni... Buat malu oghe Kelate yah”

Ini bukan masalah aku seorang. Hari tu terkena dekat aku dan anak-anak aku, orang Kelantan. Apa kata kalau terkena kat pelancong luar ? Apa persepsi mereka ?

Apalagi kalau terkena kat orang yang sentiasa ‘jeh’ tag Kota Bharu Bandaraya Islam ?

Supik gelenyar pun kupit, rokrak betullah orang tua tu ...

Monday, June 22, 2009

Bubar DUN, UG, PPSMI

Dalam berita radio masa hantar anak sekolah tadi ada lagi pasal UG. Tok Guru setuju bincang dengan bersyarat katanya cadangan Tok Guru. Bila 2 Tok Guru bertemu dan bermesyuarat, insyaAllah para Malaikat jadi peneman.
.
Setan selalu tumpang tangguk kalau kita cakap jauh-jauh. Laung dari jendela ke jendela.
.
Suara ramai kebelakangan ini nampak macam berlalu begitu saja. Sama saja apa isu pun.

Kawan Berbaik dan Berselisih Kerana Allah


Bila kita merasakan kawan kita berbuat suatu kesalahan, adakah kita terus mahu kondem dan jatuhkan dia atau betulkan dia ?


Adakah kita terus cari aibnya yang lain ?


Adakah kita akan memanggilnya dengan nama-nama yang tak sepatutnya ?


Katakan dia jatuh, atau letak jawatan, layakkah kita mengisi kekosongannya ?


Kalau kita sayang seseorang, adakah kita akan bercakap tak henti-henti kepadanya, atau kita asyik mendengar katanya, atau kita dengar... cakap, cakap...dengar, dengar....cakap ?


Kalau kita telah melabelkannya dengan sesuatu nama, atau sesuatu gelaran, atau apa-apa yang pedih didengar..... Dan akhirnya dengan izin Allah, semuanya selesai (berkat berbincang dan bermesyuarat), adakah semuanya akan sama seperti air kosong dalam cawan ?


Pernah dengar lagu Poison ?


....wound heals but the scar remains.....



Bila bertengkar, dia melampau batas.... Inilah sikap yang perlu kita jauhi.


Dalam berkawan juga ada tapisan.


Wallahua'lam.

Saturday, June 20, 2009

Sekolah Agama Ini Pelik

Memang pelik
Kerana ianya bukan sekolah Kebangsaan
Atau sekolah Tamil, atau sekolah Cina
Jauh sekali sekolah missionary

Pelik bin Ajaib
Bila Mudirnya
Bila PK HEMnya
Bila Pengerusi PIBGnya
Bertukar-tukar hujah dan pendapat
Di lain-lain kedai kopi, di luar sekolah
Mengapa tidak di kantin sekolah aje?
Atau sebaiknya di bilik mesyuarat ?

Itulah pelik
Bukankah mesyuarat PIBG baru je berlangsung ?
Kenapa ? Tak bincang je ... ?
Ini memang ajaib

Ya, memang pelik, extremely pelik
Kerana yang bertegang urat bukannya
Pelayan makmal yang naik Honda Samah
Kerani akaun yang lambat proses claim
Pak guard yang cengil
Mak cik kantin yang becok
Cikgu PJ yang selalu pakai spek hitam
Professional yang mengajar Fizik dan Kimia
Cikgu matematik yang speknya macam Nyonya Mansur
Mak cik tukang sapu yang diam aje
Pak cik tukang kebun yang tak dapat gaji minima
Cikgu Sains dan Matematik yang berbau budu kerana PPSMI
Cikgu Biologi yang pakai tudung tapi masih nampak rambut

Pelik giler
Bila semuanya balik dari Azhar puluhan tahun lalu
Bukan Isnin minggu lepas !

Memang la pelik
Bila Cikgu Fizik nak dipilih PK HEM dibantah
Sebab tak mengaji Azhar
Setakat Lubuk Tapah dan Pasir Tumbuh dan Sungai Durian tak cukup
Tak fasih....puak-puak ni hafal saja

Yang ni aku pelik sungguh
Tak istikharah kah ?
Dulu Ustaz juga cakap,
Istikharah bukan untuk cari bini je

Bertambah pelik
Bila isu asalnya bukan masalah air 2 kolah
Bukan ukuran sebenar 2 marhalah
Juga bukan masalah syiah

Pelik
Budak-budak nak exam
Ibu bapa makin ramai hantar anak sekolah agama
Cina India pun hantar anak sekolah agama
Tapi tiba-tiba nak bergabung dengan Sekolah Kebangsaan pulak

Tak pelik, yang pelik
Tak panggil menyuarat dulu ke
Penaung PIBG, Mudir, PK HEM, Penyelia Pagi, Petang, cikgu-cikgu
Budak-budak beres
Pengawas boleh jaga
Makanan Mak Cik Kantin boleh sponsor
Pak Cik Tukang Kebun boleh tolong hantar karipap ke bilik mesyuarat

Cukuplah perkara-perkara pelik
Di surau dah 2 minggu takda orang mengajar
Bilik Mesyuarat dah bersawang
Bermesyuaratlah
Kalau tak nak di Bilik Mesyuarat
Mak Cik Kantin boleh tempah hotel


Yang Pelik.....Cikli

Tuesday, June 16, 2009

SAYONARA


Setiap yang bermula pasti akan berakhir.


Esok seawal pukul 7.00 pagi, aku akan bertolak ke Narita Airport. Packing barang belum siap lagi. Kalau di rumah aku ambil yang siap aja. Semua isteri yang buat.


Jam sudah hampir 1.00 pagi. Aku ingat memang tak payah tidur malam ni. Kalau tidur alamat tak siap la packing barang. Lagipun pukul 2.45 pagi sudah masuk fardhu Subuh. Nanti layan tidur dalam flight aje lah.


Saat-saat sebegini, tiba-tiba jadi sentimental pulak. Excitement nak jumpa anak isteri memang tak tergambarkan, tetapi perpisahan tetap pahit.


Orang Jepun memang unik. Mereka buat kerja memang macam slogan Polis Malaysia. Cepat dan betul. Memang accurate.


Pekerjaan sebagai 'translator' di sini memang laku. Sebab mereka tak rasa bercakap mat salih itu hebat. Director bahagian International Affair di Ministry of Labor, Health & Welfare mereka pun kalau ambil SPM mesti tak lulus kalau BI diwajibkan lulus. Sebabnya, kalau dia berucap samada baca teks atau pakai penterjemah. Satu lagi bila borak dengan dia, aku cakap lain, dia jawab lain. Last-last aku buka cerita Doraemon, Shin Chan dan Dragon Ball.


Lecture boleh dikatakan 99% pakai penterjemah. Mana expert datang pun, pakai penterjemah. Kalau kita buat lawak, kita gelak dulu. Kalau dia buat lawak, dia gelak dulu. Penterjemah kena gelak dua kali.


Hanya professor universiti sahaja yang bagi lecture dalam Bahasa Inggeris. Dan BI mereka cukup hebat. Siap dengan accent American lagi.


Malaysia, sebagai 'late comer' memang perlu menguasai Bahasa Inggeris untuk senang berkongsi teknologi bangsa yang telah lama maju. Tetapi tidaklah perlu sehingga meminggirkan bahasa ibunda sendiri dengan PPSMI dan menjurangkan lagi jarak di antara sesama rakyat dengan ura-ura mewajibkan lulus BI. Carilah formula yang betul dan sesuai.


Karpal Singh dan Gobind Deo anaknya yang terer Bahasa Inggeris, adakah mereka bermimpi dalam BI atau Tamil ?


Cukuplah dulu. Packing belum siap. Sayonara Nihon. Domo Arigato Gozaimashita.


Monday, June 15, 2009

Apa Punya Mat Arab Daa....



Koordinator kami Kanai-san, orang Jepun bertanya,


"Ramli-san, Jamadi-san, do you like music?"


Aku memang layan juga lagu ni sikit-sikit, tapi tak terus menjawab, tertanya-tanya pula kenapa Kanai-san bertanya. Manalah tau, silap jawab nanti kena layan karaoke pulak. Maklumlah sekarang semua program dah habis, free beb.


Mat Jordan dalam kumpulan kami yang memang banyak mulut menjawab,


"In Islam it's haram!"


"What do you mean haram....?" tanya Kanai-san dengan seorang Awek Serbia dan seorang lagi Mamat Cameroon. Ye lah memang patut mereka pelik.


Terkedu juga aku dengan statement Mat Jordan ni, aku tak terkata apa-apa. Lagipun keretapi dah datang dan kami terus naik.


Terkilan aku dengan Mat Jordan ni, kalau dengan sesama Islam dia nak kata begitu, terpulang. Masing-masing faham. Mana had, mana batas, mana halal, mana haram. Ini berfatwa tanpa disoal.


Di dalam train yang sarat dengan penumpang Mat Jordan ni masih menghuraikan fatwanya kepada Kanai-san, Awek Serbia dan Mamat Cameroon yang membulukan telinga aku mendengarnya. Lalu aku menyampuk,


"I think you better stop"


"It's really unfair for you to talk so easily about something that you don't really know. It's a long discussion about it (music)."


"Ramli-san. I am sorry, I started the matter," Kanai-san pula yang minta maaf. Orang Jepun ni memang polite, terutama older generation. Kanai-san ni dah macam mak kami dalam sebulan lebih ni.


"No, It's not you. It's him. I really think he should stop talking about this."


Aku terus berkata,


"It's like food, you have to choose," aku berkata begitu kerana Kanai-san dah biasa dengan kami. Makan kami mesti cari halal. Kalau masa nak beli apa-apa, dialah yang tolong baca ingredients. Kat Jepun ni takda PPSMI, semua balun Bahasa Jepun. Artis yang paling cun dan aktor yang paling kacak pun tak speaking di sini!


"Actually I agree with you. You are right. We shouldn't ....bla..bla...bla...." Mat Jordan ni memang banyak cakap.


"By the way, why did you ask in the first place?"Aku bertanya Kanai-san. Cuba nak alih topik la pulak.


"Ooo...My son is a musician. He plays drum. I have CDs of his music that I would like to give to all of you," terang Kanai-san.


"If he is Muslim, he will go to hell...." Selamba je Mat Jordan tu buat fatwa kedua. Aku meninggikan suara menyebut nama Mat Arab tu menandakan aku tak bersetuju dengan caranya. Jamadi-san pula menyiku Mat Arab tu.


Aku berpaling keluar tingkap, malas aku nak layan orang macam ni.


Entahlah. Dia betul ke atau aku yang salah.


Patutlah senang benar orang termakan propaganda fitnah tentang Islam dan penganutnya.

.

Friday, June 12, 2009

Politik Erdogan di Mana-Mana



Sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Tokyo kena dengar khutbah dalam 3 bahasa.
.

Pertama, Bahasa Jepun.
Kedua, Bahasa Turki.
Ketiga, Bahasa Inggeris.


Teks khutbah disediakan untuk para jemaah dalam Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris.
.
Masjid cantik ini telah dibina oleh Kerajaan Turki . Khabarnya dalam tahun 1986 telah dirobohkan dan dibina semula. Binaannya memang cantik, menarik dan da bomb.
.

Tok Imam dan Tok Bilal orang Turki. Tok Imam tak sure pulak aku daripada golongan professional atau ulamak. Cara berpakaian smart dengan neck-tie macam professional. Bermisai nipis tiada janggut, macam Husam..oppsss macam professional. Cakap Jepun dan Inggeris berabuk macam professional. Baca ayat al-Quran best dan fasih macam ulamak pulak. Atau mungkin puak Erdogan ni memang serba boleh ? Sebab tu Umno takut kot ?
.
Makmum, macam-macam ada. Professional ada, tak professional ada. Tak professional langsung pun ada. Ada ke masa Khatib baca khutbah, dia dok sibuk ambik gambar dan rakam video. Nak masuk Youtube la tu.


Time rehat Jepun pada pukul 12.00 - 1.00 p.m. atau 12.30 - 1.30 p.m.


Sembahyang Jumaat ditetapkan bermula jam 12.45 tghari. Selesai segalanya hampir 1.30 p.m. Berkejar-kejar pula masuk kerja.


Berbalik kepada khutbah 3 bahasa.


Bahasa yang pertama, patut sebab memang di Jepun dan baik untuk dakwah kepada orang Jepun yang masih free (takde pegangan).


Bahasa yang kedua, pendapat aku bertujuan politik semata-mata. Tak payah la khutbah dalam Bahasa Turki.


Bahasa yang ketiga, boleh diterima. Tak payah pun takpa, sebab dah ada teks.
.

Benda-benda wajib ni janganlah di aksesori kan.


Orang Turki memang hebat, Kelantan bila nak sponsor masjid kat sini?


Senibinanya memang mengasyikkan.
.

Subhanallah.
.


Kubah Masjid Guchil yang baru kalau boleh jadi macam ni baru ada kelas Perdana Menteri anak-beranak rasmi.
.

Thursday, June 11, 2009

PASti atau Perpaduan


Kak Yong mula bersekolah Pasti sejak berumur 4 tahun lagi. Bila umurnya menjejak 6 tahun, aku memberinya pilihan seluas-luasnya.


Nak stay kat Pasti, atau nak pindah sekolah ?


Tabika Perpaduan, Tadika Alam Ria, Tadika Hadhanah Islamiah, Tadika Rufaqa' ?


Aku tak mahu Kak Yong boring nanti jika terus ke Pasti, ye la suasana yang sama selama 3 tahun.


Lama juga Kak Yong nak buat keputusan. 2-3 minggu dia asyik senyum saja bila aku bertanya.


Akhirnya Kak Yong membuat keputusan.


PASTI......Kak Yong tetap sayangkan Pasti.


Dia tak sebutpun Tabika PERPADUAN.

Wednesday, June 10, 2009

Jangan Jadi Mesyuarat Tingkap

.
Muktamar dah habis. Usul semua dah dibahas. Pemilihan pun dah muktamad.

Tapi isu Unity Government tak habis dan tak selesai juga.

Tunggulah kot 2 tahun lagi. Lain Muktamar.

Ada orang sebut UG, bunyi macam UnderGround je.

Hamas-Fatah punya UG lagumana ya?

Sunday, June 7, 2009

Kelantan Kalah ?


Ada orang mengatakan Kelantan kalah dalam Pemilihan PAS sesi 2009/2011 yang baru selesai.


Entahlah aku tak faham sungguh.


YB Nasharudin tu walaupun orang Nogori, tetapi MP Bachok.


YB Salahudin pula MP Kubang Kerian.


YB Kamaruddin Jaafar MP Tumpat.


YB Mohd. Hatta Ramli MP kawasan ambo Kuala Krai.


Jadi tang mana pulak orang boleh kata Kelantan kalah?


Lagipun dalam parti Islam, tiada kalah menang. Yang menang sepatutnya menangis siang malam kerana beratnya amanah.

.

Friday, June 5, 2009

Dari Guchil ke Manik Urai - 1


Manik Urai dan Guchil macam adik-beradik. Seakrab 2 bekas YB, Allahyarham Pak Su Wil dan Allahyarham Tok We atau Wan Hassan Wan Yusuf. Nama je dipanggil Tok Wan, orangnya nampak muda dan segak.

Saya tak kenal Pak Su Wil secara peribadi sebagaimana saya mengenali Tok We. Tetapi sedikit sebanyak saya mengenali beliau dari jauh.

2 YB ini amat akrab. Mereka banyak persamaan. Keduanya memang orang hensem, segak dan disenangi ramai. Keduanya bukan daripada golongan ulamak, juga bukan golongan professional. Keduanya pendokong Islam yang biasa-biasa saja.

Perbezaan antara mereka mungkin satu. Tok We terkenal lemah lembut, manakala Pak Su Wil pula agak bekeng. Pastinya bekeng terutama kepada orang yang mengutuk parti Islam.

Tak silap saya tahun 1999 dulu. Semasa tu saya menyewa di Kedai Mulong. Ada 2-3 sepanduk besar merentangi jalan utama Kuala Krai-Kota Bharu yang mengutuk PAS. Tulisan hijau ala-ala sepanduk PAS. Menurut ceritanya angkara perbuatan puak-puak serpihan PAS yang berketuakan seorang yang tinggal berdekatan Kedai Mulong.

Keesokan apabila saya lalu di kawasan terbabit, saya dapati tiada lagi sepanduk menyakitkan hati itu. Saya lihat 3-4 orang yang saya rasa baru selesai menurunkan sepanduk tersebut. Saya bercerita dengan seorang tua mengenainya,

“Sepanduk tengah jalan tu kena turun dah. Nampak 3-4 orang tengah hari tadi masa ambo lalu......”

“Pak Su Wil Manik Urai la tu......”, balas Pak Cik tu.

Saya tak tahu betul atau tidak Pak Su Wil datang jauh dari Manik Urai untuk turunkan sepanduk di Kota Bharu. Tapi saya percaya. Saya telah mendengar reputasi ‘ketegasan’ dan ‘kebekengan’ Pak su Wil.

Semoga kedua-dua bekas pemimpin Islam ini, walaupun mungkin pemimpin kecil, diterima Allah untuk JannahNya.


Al-Fatihah.

.

Wednesday, June 3, 2009

RINDU



Sebagai peminat Ustaz Akil Hayy saya juga membaca apa yang diberitakan oleh media ataupun bloggers tentang Ustaz kebelakangan ini. Semasa di Perak, saya beberapa kali berpeluang bersua dan bersalaman dengan beliau. Memang saya kagum dengan kelebihan, kehenseman dan istiqomahnya dalam berdakwah.

Semalam, apabila membaca tentang kehadiran Ustaz Akil di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, hati saya merasa sayu. Diberitakan apabila sampai di mahkamah, Ustaz Akil mengambil peluang melepaskan rindu pada anak bongsu lelakinya yang berumur lebih kurang 2 tahun. Khabarnya sudah 3 bulan tidak berjumpa.

Saya berada di perantauan sekarang, belum sampai 3 bulan, tetapi rindu saya membuak-buak untuk berjumpa dengan keluarga tercinta. Anak bongsu saya juga lelaki, juga berumur dalam lingkungan 2 tahun, dan saya amat merindui jejaka kecil ini. Sama juga besarnya rindu saya pada anak-anak perempuan yang berumur 8 dan 6 tahun. Apalagi si Kakak baru saja menyambut hari lahir yang ke lapan 3 hari lepas. Rindu pada emak anak-anak saya usahlah diceritakan lagi.

Isteri saya memberitahu, setiap malam anak-anak perempuan saya tidur dengan berselimutkan kain pelikat saya. Dia memberitahu, sengaja disimpannya 2 helai pelikat yang telah saya gunakan tanpa dibasuh. Saya pernah mendengar petua ini daripada orang tua-tua, tetapi saya lupa. Jika tidak, pasti saya telah bawa sehelai kain sarung isteri saya sebagai selimut.

Saya menulis kali ini bukan untuk bercerita pasal Ustaz Rock kegemaran saya, tetapi saya hanya ingin berkongsi rindu saya yang berada di perantauan ini dengan rindu Ustaz Akil kepada keluarganya. Begitu juga rindu keluarga Ustaz kepadanya. Saling merindu.

Saya merindui anak isteri dan mereka juga merindui saya. Saya dapat merasakan bahawa orang yang paling merindui dan terkesan dengan ketiadaan saya adalah isteri saya, walaupun tidak dinyatakan! Apalagi bila terpaksa menguruskan anak-anak kecil dan segalanya berseorangan!

Dan saya merasakan dalam kes Ustaz Akil juga begitu.

P/S Rindu laungan takbir Ustaz. Allahu Akbar.
.

Monday, June 1, 2009

Selamat Hari Lahir Abang dan Adik



Assalamualaikum,


Selamat ulangtahun kelahiran untuk abang dan adik tercinta, Pok Mudo dan Mok Su.


Semoga diberkati Allah dunia akhirat.


Terima kasih kerana sama-sama menjaga ibu dengan baik.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...