Saturday, July 31, 2010

Kerana Ku Rindu

Seorang senior aku di universiti dulu pernah berpesan kepada anak-anaknya,

"In time of crunch, support your mother more than you support me"

Begitu supaya anaknya tidak kehilangan syurga dan juga betapa kasihnya kepada si isteri.







Abah rindu kalian semua. Kirim salam pada mama. Jangan sakiti hatinya. Syurga kalian ada padanya.
Keseorangan di kejauhan. Apalagi terpaksa bersengkang mata menyiapkan tugas, membawa memori bersama kalian. Kalian hidupku. Aku Rindu.

Tuesday, July 27, 2010

Hujan Batu Di Negeri Orang


Aku dan teman serumah benar-benar buntu. Macam mana ration kami boleh licin habis. Yang ada cuma gula, garam dan kicap tamin. Lantas Atok mengajak aku ke Sainsbury's.


"Hang ada duit ke Tok?" Aku bertanya. Sebab aku tahu kami semua pokai habis bulan ni.


"Ala...guna je kad debit kita, kalau setakat 5-6 pound tu, dia tak kisah bagi kredit..." Atok yakin betul dengan jawapannya. Aku ikut saja. Perut punya pasal.


Di Sainsbury's, kami mengambil barang sekadarnya. Cukuplah buat makan nasi dan spaghetti bujang 4-5 hari ni sebelum MARA dan JPA masukkan elaun.


Sampai kaunter pembayaran, kami tawakkal saja. Atok menghulurkan kad debit Barclay's Banknya untuk membayar harga barangan yang berharga sekitar 5 pound.


"Excuse me sir, there's no enough amount in the card to pay the bill....." beritahu cashier berhidung mancung kulit putih berjeragat.


Aku mula rasa nak berpeluh dari atas kepala. Aku lihat manusia yang beratur di belakang. Ramai juga. Masing-masing buat-buat tak tahu.


"We can wait here while you go get the money, or......."


"Or what ?" Pintasku, mengcover kemaluan.


"Or you can just leave the goods here," beritahu cashier tadi lagi sambil tersenyum penuh makna.


"We can do that?" Aku buat-buat surprise. "So we will leave the stuff here. Thank you," cepat-cepat kami berlalu. Malunya tak payah nak cerita.


Kata-kata cashier, 'come again' semacam memperli kami saja kedengarannya.


2-3 hari sebelum dapat elaun, terpaksalah kami pakai plan B, i.e. menumpang kasih dengan budak-budak Petronas, Shell atau TNB.



Monday, July 26, 2010

Impian Anak-Anak



Selesai melawat adik di IKBN Wakaf Tapai, kami meneruskan perjalanan balik kampung hujung minggu ke Kelantan.


"Abah, mama, nanti kita masuk U bolehkah kita ambil 2 bidang?"Salsa bertanya.


"Satu aje kak...." Jawab mamanya.


"Kakak nak ambil bidang melukis," memang Salsa cenderung ke arah seni sejak kecil lagi.


"Yong nak ambil mewarna,"sampuk adiknya Syahidah.


"Boleh ambil 2 bidang, tapi kena rajin dan kerja kuatlah," aku baru bersuara.


"Yey! Kalau macam tu kakak nak ambil bidang melukis dan memasak," beritahu Salsa penuh kegembiraan.


"Memasak kat rumah pun boleh...." Protes Syahidah. Aku malas nak komen apa-apa. Mamanya pun diam aje. Biarlah budak-budak bercita-cita.


"Abah, mama, Yong nak tanya boleh?" Tiba-tiba pulak Syahidah minta kebenaran untuk bertanya.


"Bidang tu apa?"


Apa aku nak jawab.... Jurusan? Pengkhususan? Aliran? Course? Bolehkah budak Darjah 1 Ibnu Sina Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan ni faham? Aku ada masa 2 jam lebih dalam kereta untuk fikir jawapan termudahnya.


Saturday, July 24, 2010

Haruss kah Ditiru Tony Blair?


Aku tak berniat nak merendah-rendahkan Mufti DS Harussani yang pernah menghulurkan salam pada aku dalam lif lama dulu. Lagipun bagi aku, isu ini adalah taktik melencong isu dan membazir peluru sahaja.



Apabila DS Mufti menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam isu perpaduan antara PAS dan UMNO aku jadi teringat pada Tony Blair bekas PM Britain dari Parti Labour yang kalah dalam pilihanraya UK baru-baru ini.



Semasa Tony Blair menjadi PM muda pada usia 43 dengan mengalahkan Parti Konservatif dulu, harapan ramai orang tak ketinggalan golongan tertindas di Timur Tengah amat tinggi padanya. Tetapi harapan tinggal harapan, Tony Blair tetap menjadi pak turut Amerika.



Apabila ambang kejatuhan telah tiba, akhirnya Tony mengalah dan memberikan title PM kepada Gordon Brown sebelum Parti Labour tewas baru-baru ini dan Konservatif kembali berkuasa.



Tetapi sebelum pencen sebagai PM, Tony melobi sakan untuk menjadi penggerak peace process di Timur Tengah terutama isu Palestine. Padahal semasa dia berkuasa dan berkeupayaan, dialah yang sama-sama mengebom Iraq dan menyokong tegar Israel. Sekarang pun walaupun kononnya menggerakkan 'peace' di Gaza, tetapi Tony tetap menyokong tegar BN (Benyamin Netanyahu). Ibarat time kerja asyik berborak, bila dah pukul 5 baru sibuk nak buat overtime.



Aku harap sangatlah DS Mufti tak tiru Tony Blair dalam hal ini.

Friday, July 23, 2010

Just My Lucky Day



Pagi-pagi 8.30 mesyuarat dah bermula. Pengerusi ada appointment lain nanti, sebab tu kena mula mesyuarat awal.


Bos sebagai pengerusi, timbalan bos sebagai setiausaha.


Mesyuarat ni biasa dalam mana-mana organisasi. Tapi yang jadi tak sedap bila keputusan mesyuarat lepas, kita belum ambil tindakan sepenuhnya. Memang jenuh juga nak menjawab kenapa dan mengapa.... Lepas ni kena bersilat juga aku nak menjawab nanti, itu fikirku dalam hati.


Tiba-tiba pengerusi berkata padaku,


"You sambung chair meeting ni, I ada appointment. Timbalan tak boleh chair sebab dia jadi setiausaha jawatan kuasa ni"


Aku angguk je.


Aku tengok perkara-perkara seterusnya dalam minit mesyuarat, memang turn aku yang kena menjawab. Apa lagi aku pun jawablah. Tanpa sebarang stress atau strain...hahaha....


Tapi tanggungjawab tetap tanggungjawab.


Wednesday, July 21, 2010

Bertemu Presiden



Semasa menunggu flight 7.45 malam dari KLIA ke KT semalam, aku ternampak wajah kesayangan ramai sedang duduk berseorangan. Juga menunggu flight yang sama. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Aku pun ambil peluang mendekatinya.



Assalamualaikum. Lalu terus duduk di kerusi sebelah Presiden Parti Islam SeMalaysia ini. Salaman tanganku digenggam kemas dan mesra oleh Tuan Guru. Aku berasa agak kekok untuk memanggilnya Ayah Chik, lalu aku membahasakan dirinya Tok Guru. Walaupun aku tahu gelaran Tok Guru sinonim dengan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.



Tuan Guru rupanya dalam perjalanan pulang dari Morocco. Beliau jelas keletihan. Apalagi bila terpaksa 'standby' dari tengahari tadi kerana flight penuh untuk ke Terengganu. Nasib baik ada orang MAS tolong, baru dapat seat malam ni, beritahu Tuan Guru.



Memang pendakwah, apalagi yang terpaksa menceburi politik untuk menegakkan hukum Allah beginilah rutinnya. Banyak masa terpaksa dihabiskan di jalanan. Aku lantas teringat kata-kata Tok Guru Nik Aziz dalam salah satu ceramahnya. Lebih-kurang begini : masa saya habis banyak dalam perjalanan, sampai sakit demam ni, saya akan tuntut balik di akhirat besok dengan orang yang tak nak tegakkan hukum Islam. Sebab dia tak nak tegakkan hukum Allah, saya kena buat semua ni.....



Ye lah. Semua orang pun nak enjoy dan bergumbira dengan anak isteri di rumah. Balik kerja, bersantai rehat dengan ahli keluarga. Hujung minggu ke Mydin Mall, Bukit Besar.



Saya jadi teringat kepada Mat Sabu, Salahuddin, Dr. Hatta, mereka ini boleh dikatakan tidak lekat di rumah. Malam berceramah, siang berdialog, berforum, kadang-kadang berdemo. Mungkin mereka inilah yang lebih layak menggantikan ahli motivasi untuk membentangkan tajuk 'pengurusan masa'.



Sebenarnya aku ingin sangat bertanyakan pendapat Tuan Guru tentang 'igauan' Mufti Perak berkenaan Melayu hilang kuasa pada PRU13 jika PAS dan UMNO tidak bersatu, tetapi memandangkan ianya isu yang agak berat dan Tuan Guru pun keletihan, aku pendamkan saja hasrat hati.


Aku bertuah kerana berpeluang berbual mesra dengan Tuan Guru. Telefon di dalam poket seluarku bergetar-getar menandakan ada orang memanggil, tetapi aku biarkan saja. Tak elok tengah cakap dengan Tok Guru tiba-tiba jawab telefon. Kan begitu?



Sebelum masuk ke perut kapal terbang, aku teringatkan panggilan tadi. Rupanya abangku Pokmuda yang memanggil. Lalu aku SMS ..."Aku tak angkat satni sebab dok tengah bual dgn Hj. Hadi". Lalu aku mematikan handphone sebelum masuk flight.



Sepanjang perjalanan ke Tengganu, aku nampak Tuan Guru yang berada 3 seat kelas ekonomi dihadapanku tidak dapat rehat. Penumpang disebelahnya juga sepertiku tadi, tidak melepaskan peluang untuk berbual mesra dengan ulamak bekas Menteri Besar Terengganu ini.



Sampai di terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud, aku mengaktifkan semula handphone. Tut tut ada SMS masuk. Aku baca, "Takbir!" Pastinya dari Pokmudo yang membalas SMS ku tadi.

Tuesday, July 20, 2010

Mana Lebih Bahaya

.
A. Sorang kata Malaysia bakal MUFLIS macam Greece menjelang 2019 kerana bakal menanggung hutang RM 1 trillion jika rakyat tak bersedia menerima kenaikan harga barang.
.
.
B. Sorang kata Felda BANKRAP kerana rizab tunai susut daripada RM 4.08 billion pada 2004 kepada RM 1.35 billion pada 2009 (Terpaksa tanya: Antara 2004-2009 tu tak ada pendapatan masyuk ke?)
.
.
C. Sorang lagi kata Melayu bakal HILANG KUASA pada PRU13 jika PAS dan UMNO tidak kahwin.
.

Sunday, July 18, 2010

Kenapa Memilih Mati Katak


Tok Penghulu kampung isteri aku sibuk betul mendaftarkan pengundi baru.
"Tengok ni, orang kita ni," dia menunjukkan nama seseorang yang aku kenal.
"Dah 2 kali layak mengundi, tapi tak daftar lagi.....rugi kita Li," katanya bersungguh-sungguh.
"Rugi apa!" Jawab aku.
"Kalu dia mengundi dulu mesti pangkah Breheng Ali.... Menyesal ada la..." Aku sambung.
"Ya betul tu.... Kali ni kita nak buang dia balik," Akur Tok Penghulu.

Wednesday, July 14, 2010

Rahmat Ujian. Maha Suci Allah


Ahad lepas aku ke Kerteh kerana tugas. Menjelang Maghrib dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu, tiba-tiba...
BANG !
Tak sangka motosikal yang sedang aku overtake dengan tak semena-mena menghentam sisi kiri kereta aku.
"Eh! Kenapa dia belok tiba-tiba ni?" Kata bos aku yang berada di sebelah. Dia nyata terkejut besar. Aku hanya mampu membalas steering ke kanan dan berhenti di kanan jalan lebih kurang 30 meter dari tempat perlanggaran.
Aku keluar kereta bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Alhamdulillah, nampak remaja perempuan penunggang dan pembonceng motosikal tanpa topi keledar itu tidak apa-apa. Motosikal itu tidak terbalik pun.
Bila aku berjalan ke arah mereka, phosshhh.... mereka menghilang. Masuk kampung. dalam hati aku lega bangat. Aku fikirkan mereka sudah terjelepok atas jalan berdasarkan dentuman tadi.
Dua orang makcik sedang memerhatikan eksiden itu dari laman rumahnya di tepi jalan.
"Lari dah.... Tak tahu anak siapa. Mak cik tak kenal", kata seorang daripadanya.
"Mujurlah tu dia lari. Kalau dia tunggu pun saya tak tahu nak buat apa", balas aku. Maksudku dia lari bermakna dia tidak cedera. Syukurlah.
"Sebelah tangang dok pegang handphong", beritahu mak cik itu lagi.
Aku melintas jalan mendekati mak cik berdua tu. Cakap-cakap lebih kurang kemudian sambung perjalanan balik.
Di rumah aku memeriksa kerosakan pada kereta. Kemek biasa, could be worse. Syukurlah.
Aku terpandang tayar kereta. Ada crack merata tempat! Aku check tayar lain. Tayar hadapan sebelah kanan juga crack. Dua di belakang ok. Bahaya betul. Boleh burst any time aje ni. Rupanya eksiden dengan motorsikal tadi adalah rahmat yang besar kepada aku.
Esoknya aku ke kedai tayar. Apa yang aku jumpa amat mengejutkan. Di sebelah dalam, keadaan tayar memang teruk. Padahal baru tahun lepas tayar ni aku tukar. Manufacturing date 2008.
Jadi eloklah kita selau-selalu check tayar kita.
Terima kasih Allah. Terima kasih adik motorsikal, tapi laing kali jangang dok naik motor santai atas jalang tak pakai topi keledar sambil dok sembang pakai henpong. Bahaye.
Apa nak buat...


Manufacturer patut bertanggungjawab. Low quality. Tayar ada nama.



Tak patut. Macam tayar celup pulak. Adakah aku telah tertipu oleh penjual?

Monday, July 12, 2010

Belanda Dilayan Macam Pembangkang

Terlalu banyak kad kuning dikeluarkan oleh pengadil dari England terutama kepada pemain Belanda di dalam final World Cup 2010 yang akhirnya membawa padah kepada Belanda apabila terpaksa bermain dengan 10 orang.
.
Peluang Iniesta pemain jersi no. 6 Sepanyol pada minit 116 masa tambahan seharusnya tidak datang kerana pengadil sepatutnya membenarkan sepakan sudut untuk Belanda pada masa itu ekoran sepakan percuma yang diambil oleh pemain Belanda terkena benteng pertahanan Sepanyol sebelum tersasar keluar padang.
.
Pasukan England yang terpaksa pulang awal sepatutnya membawa balik pengadil mereka bersama-sama. Jika tidak inilah padahnya.
.
Kita pun tahu ayat DO I NOT LIKE ORANGE begitu popular di England di pertengahan tahun 90-an dahulu.

Saturday, July 10, 2010

Cakap-Cakap Piala Dunia




A: Apa ni warna oren, Hang sokong Holland ya.... Sepanyol la bro. Belanda mesti kalah punya.

B: Kebetulan je warna oren ni. Aku paling tak sokong Belanda. Dah la penjajah. Berapa ratus tahun dia jajah kita? Hang tau? Lepas tu baru ni politician dia, Geert Wilders hina Nabi kita Muhammad S.A.W. Kurang ajar betul depa nih... Sekarang product Dutch Lady pun aku dah tak beli.

A: Ini bola bro. Ini lain.

B: Sepanyol lagi teruk menjajah. Tengok di Filipina. Nasib baik Sepanyol tak jajah Tanah Melayu. Kalau tak mungkin tinggal berapa kerat je orang Islam yang tinggal. Sepanyol kacau habis agama Islam. Tengok Andalusia. Apa jadi?

A: Jadi kau sokong apa bro World Cup ni. Portugal?

B: Wei... Siapa mula-mula jajah Melaka. Alfonso de Albuquerque tu sapa? Mungkin datuk moyang sebelah bapa Cristiano Ronaldo.

A: Tapi Ronaldo tu main best bro....

B: Lambang Portugal saja dah salib besar bro. Hang nak tayang kat dada hang tu... Fikir la bro.

A: England macam mana bro?

B: Ini pun bangsa penjajah yang aku menyampah bro.

A: Tapi undang-undang dia kita masih pakai bro hahaha. USA ok apa bro...

B: USA lagi hampeh bro. Kalau barangan dia pun aku cuba boikot sebab support Israel, apalagi nak sokong team bola dia. Main pun bukan best sangat.

A: Jadi hang nak sokong Serbia ke? Best main, Jerman pun kalah dengan depa.

B: Hisss... Kenangan tragedi Bosnia Herzagovina masih segar diingatanku bro. Mana boleh sokong team tu.

A: Hang sokong France la. Ramai orang Islam dalam team dia. Ribery, Anelka, dulu Zidane...

B: Memang la ramai orang Islam tapi negara mana yang ban budak pakai tudung ke sekolah? Cuba hang cakap mai...

A: Sokong Itali la bro.

B: Pope tu dok mana? Vatican City tu kat mana? Apa Pope Benedict cakap kat Nabi kita baru ni... Hang ingat? Kalau tak ingat search Google.

A: Banyak pantang larang la hang ni. Jadi hang sokong team mana ni?

B: Jepun.


A: Jepun pun penjajah juga bro. Hang tak pernah kena penampar jepun ke? Hahaha.

B: Entahlah bro. Tapi at least ada rasa Asia tu sikit. Korea Selatan pun ok juga. Team macam Algeria pun aku sokong juga atas dasar seagama. Tapi kalau sokong team ni, first round je la. Masuk round kedua, kena cari team lain untuk sokong.

A: Brazil la bro. Tak pun Argentina.

B: Dua tu memang best. Aku memang suka Argentina. Maradona pun best tapi dulu la. Sekarang sejak dia jadi coach, cakap takbur giler. Siap nak telanjang kalau Argentina menang. Brazil aku suka tang penyokong dia je hahaha. Tapi dah ramai orang sokong la. Carilah team lain.

A: Jerman bro?

B: Main keras macam Nazi...

A: Semua tak kena la hang ni. Nak tunggu Malaysia masuk World Cup lambat la bro. Senang hang sokong je team Ghana. Ramai pemain star, main bagus..... Amacam.

B: Team Ghana lah aku paling menyampah sejak hari pertama World Cup bro....

A: Awat pulak...?

B: Bendera dia...Tiga line macam PEKIDA.

A: Jadi hang tak akan tengok la final Spain lawan Holland nanti?

B: Ishh...Kena tengok juga, nanti orang borak, aku nak menyampuk apa bro. Hahaha...

A: Baik macam tu, hang sokong je la The Red Warriors hang tu. Gomo Kelate Gomo.

B: Hahaha... Sebenarnya The Red Warriors pong aku tak layan sangat bro. Aku menyampah dengan Annuar Musa....

A: Hang memang payohhhh....PAAA YOOOHHHH.

HAHAHA

Friday, July 9, 2010

Sejuk Hingga Ke Tulang Sum-Sum


Cikgu Hairiah sedang mengajar kimia. Memang aku minat cara dia mengajar. Mudah faham.

Untuk menguji kefahaman murid, dia akan bertanyakan soalan.

"So Nazli, since bla bla.....what is bla bla....if bla bla bla....." Aku lupa pulak apa soalannya.

"Sorry madam, I don't know...." Jawab Nazli sambil menggeleng kepalanya yang kerinting.

"Azmyuddin....." Soalan Cikgu Hairiah beralih kepada Azmyuddin, penyokong DAP tegar dalam kelas kami.

Azmyuddin diam tak dapat menjawab.

Nasbi, Zurain, Arsyad, Genzo..... Semua mengalah. (Payah sangat ke soalannya? Aku lupa la pulak)

"Ramli...." Soalan Cikgu beralih padaku yang duduk di belakang sekali tepi tingkap.

"I know the answer but it's too cold in here, I can't speak", jawabku. Memang aku kesejukan, gigi bertemu gigi. Maklumlah kelas kami baru dipasang air-cond.

"Hah...Apa dia?" Terkejut Cikgu. Ini ke budak nak pergi mengaji UK!

Aku tak belawok, memang aku sejuk sungguh dan aku yakin aku tahu jawapan kepada soalan Cikgu Hairiah. Malangnya aku lupa apakah soalannya untuk diceritakan di sini.
(Ini cerita tahun 1991)

Thursday, July 8, 2010

Belajar Kecek Kelantan Mesti Banyak Bersabar



Puya sahabatku ingin belajar dialek Kelate.


"Samah tu lima posen ye?" tanya Puya. Aku angguk je.


"Hak besar sikit lagi?" Tanya Puya lagi.


"Tiga amah", jawab Pendee, budak Pasir Mas.


"Ada lagi hak paling besar", aku menyampuk.


"Apa?" Puya excited.


"Kapal terbang mah!"


"Malas aku cakap dengan mung, Meli...." Puya give-up. Pendee mengekek ketawa.

Tuesday, July 6, 2010

Salahuddin, Mazlan Jangan Buang Masa

Apabila seorang yang biadap berkata sesuatu yang bodoh. Kita patut berasa marah.
Tetapi apabila seorang yang bodoh mengatakan sesuatu yang bodoh. Bodohlah kita jika kita marah.

Kenyataan bahawa PAS sebuah parti ajaran sesat oleh Shafie Afdal hanyalah usaha untuk melencongkan fokus Pakatan Rakyat kepada isu-isu lain yang lebih afdal ditangani. Apabila Shafei merelakan dirinya menjadi ‘punching bag’ kepada ahli-ahli PAS, banyaklah perkara yang bakal hilang dari tumpuan mereka sekurang-kurangnya untuk seminggu-dua ini. Sepi dan keseoranganlah Anwar untuk seketika ini.

Memang Shafei cuba menjadi jaguh sekaligus mencacai dengan kenyataan ini. Tetapi ianya ibarat si kaki bangku yang terpaksa dipilih mewakili Korea Utara di Piala Dunia dan hanya mampu mencuba menidakkan banyak gol-gol Portugal dengan perangkap offside. Tentunya dengan bantuan pengadil.

Monday, July 5, 2010

Empat Kosong Kuah Dal

Selesai menghantar Kakak dan Kak Yong ke sekolah, aku ke kedai roti canai.
"Bungkus roti canai empat, bang", pintaku.
Tuan kedai memandang ke arahku sambil berkata,
"Empat.....Kosong"
Hah! Aku tersentak. 4-0?
"Oh ya... Roti kosong, empat", aku menyambung bila dah faham. Nampaknya impak Argentina kalah berat juga menimpa aku.
Kalau Maradona yang datang beli roti canai pagi ni, mahu diamuknya kedai roti ni kerana salah faham.


Messi sedang bersedih.

Messi ditenangkan dengan roti cicah kopi o.

Sunday, July 4, 2010

Maradona Kecewa



Jerman benam Argentina 4-0.


Penguasaan permainan, Argentina lebih dominan dengan 54% berbanding Jerman 46%. Padang nampaknya sama rata. Pengadil nampaknya adil. Pemain sama ramai. Penyokong sama-sama dapat tiup vuvuzela dan bebas menconteng muka masing-masing.


Pasukan Jerman nampaknya lebih konfiden dan serangan lebih mantap. Mereka score, mereka layak menang.


Selepas bola, TV1 siarkan berita.


Najib hentam Anwar dalam satu majlis. Kaw-kaw punya. Siap dilabel sesumpah oleh Najib. Katanya Anwar ke US mintak maaf dengan puak-puak Yahudi sebab mainkan isu APCO baru-baru ini.


Selepas Najib, si pembakar jambatan Rais Yatim tumpang semangkuk hentam Anwar. Pembaca berita pun bukan main lunak lagi membaca skrip. Setuju benar anginnya.


Malangnya selepas itu, tiada pula Anwar diinterview atau diambil keterangannya untuk menjawab tuduhan kaw-kaw Najib dan Rais. Padang tak sama rata. Referee berat sebelah. Penguasaan permainan Najib 100%- Anwar 0%.


Media kita masih mengamalkan apartheid dalam penyaluran maklumat kepada rakyat.

Friday, July 2, 2010

Macam Cerita Ali Baba Bujang Lapok La Pulak



Aku simpati kepada Ustaz Hosni Mubarak, cerita beliau seperti yang dilaporkan Siasahdaily,


Kami dibawa masuk melalui bangunan Legend Hotel sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing, turun tangga tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, lalu diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu".



“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap.


Hebat P.Ramlee, APCO pun rujuk skrip aiya cik siti pelempuan manyak muda sebagai modus operandi.


Cuma mata je tak tutup.

Keluar PKR Terus Bersikap Macam Jin Afrit

.
Sejak Zul dan Zahrain berada di luar PR nampaknya mereka semakin pandai dan tahu belaka.

Zul tiba-tiba jadi amat tahu tentang pembunuhan Altantuya. Zahrain pulak jadi pakar kes membabitkan kelucahan Elizabeth Wong. Benar atau tidak, tengok muka sorang-sorang aku dah tahu. Semasa dalam PKR dulu kenapa depa berdua ni tak cakap apa-apa? Tapi bila dah out, banyak cakap pulak. Tak ubah macam perangai jin afrit.

Begini ceritanya, (Cerita ni rekaan semata-mata, aku dengar dari kawanku Pendee)

Dahulu, jin-jin ditugaskan membina bangunan di zaman Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman dikatakan telah meninggal dunia, tetapi jasadnya masih berdiri seolah-olah memerhatikan pasukan jin-jin yang sedang bekerja. Sehinggalah apabila tongkat Nabi Sulaiman dimakan anai-anai yang menyebabkan jasad Nabi Sulaiman rebah, barulah jin-jin itu tersedar bahawa Nabi Sulaiman telah wafat. Jin-jin rasa pelik macam mana mereka boleh terpedaya sebegitu lama, sedangkan Nabi Sulaiman telah lama wafat.

Lalu berkata satu (seekor? Atau seorang?) jin yang telah terkenal loyar buruk di kalangan kaum jin.

“Ana dah tahu lama dah Nabi telah wafat. Saja tak nak cakap”, kata jin itu sambil membetulkan kopiahnya.

“Ya, aku pun tahu jugak. Malas nak khabarkan pada you all”, sampuk kawannya yang juga amat pembelit sambil membetulkan neck-tie nya.

“Sudahlah korang berdua. Kami dah kenal sangat dah. Asyik nak nama aje”, protes jin-jin lain tak puas hati.

“Kalau kamu semua tak percaya, buktikan yang kami tak tahu. Beranikah kamu semua bersumpah bahawa kami berdua tak tahu?” Cabar 2 jin loyar buruk itu.

“Kalau kamu berdua tahu dari awal lagi, kenapa tak cakap? Kenapa kamu pun turut bekerja walaupun kamu sudah tahu Nabi sulaiman telah wafat?” desak satu jin yang amat tak puas hati.

2 jin loyar itu rasa terperangkap, tetapi masih tak mahu mengalah. Malah semakin sombong lalu speaking.

“Well...... we were afraid.... that’s all. Yes, we were afraid”, belit mereka bersungguh-sungguh.

Lalu mereka berdua digelar jin afrit kerana jin-jin lain tak terer sangat spelling dan pronunciation ni.

Zul dan Zahrin, jangan sampai kamu pun dipanggil YB afrit.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...