|
T - T.e.r.o.w.o.n.g |
“Cakap! Siapa dia?” Jerkah ayah Noni.
Menyinga betul ayah Noni bila dia mendapat tahu anak dara suntinya telah besar perutnya dan bakal masuk ke Sekolah Harapan. Tahun ini anaknya baru nak ambil PMR, tetapi dah gatal dan pandai nak bermesra dengan lelaki. Budak-budak lain sebaya, semuanya rajin mengilik buku, anaknya pula rajin mengilik jantan.
“Caaaaakap!” Desak ayah Noni lagi sambil mengheret hidung Noni yang sudah berair dengan hingus akibat esakan.
“T ayah,” jawab Noni.
“T? T apa? T-rex, T-bone, Mr. T, T-Team?” Tanya ayah Noni inginkan kepastian.
“Datuk T”
“Oooo datuk, senanglah aku pau nanti..... Panggil dia datang sekarang, kalau tidak aku report sama Lim Guan Eng. Sekarang jugak aku akan kahwinkan kamu,” marah betul ayah Noni.
Selang setengah jam kemudian, menjalar kereta besar bercermin gelap depan rumah kayu usang ayah Noni. Dua lelaki bercermin mata hitam dan seorang bercermin mata biasa naik ke rumah dengan lagak tak takut dan tak heran apa-apa. Di dalam rumah ayah Noni, telah bersedia beberapa orang lelaki. Semacam satu majlis pernikahan ringkas akan diadakan. Memang itulah hasrat ayah Noni.
Setelah ketiga-tiga lelaki tadi duduk,ayah Noni mula bersuara.
“Siapa antara kamu ni Datuk T?”
“Saya,” jawab seorang lelaki boroi.
“Errr....Kami,” sampuk seorang lelaki lagi. Tubuhnya kasar. Macam nak telan anak dara orang sahaja raut wajahnya.
“Ya, kami,” sampuk seorang lelaki lagi yang persis penjual mapiau di tengah double line depan Penjara Pudu yang telah ranap sekarang.
“Apa?” Terkejut ayah Noni.
“Aku tanya siapa Datuk T. Aku nak dia kahwin dengan anak aku sekarang sebelum semester baru Sekolah Harapan dibuka semula,” tegas suara ayah Noni.
“Datuk T tu kami bertiga, trio,” jawab lelaki bertubuh kasar. Dua lelaki lagi hanya mengangguk kepala.
“Astaghfirullahalaziiiiim.....” Lelaki berserban yang semestinya tok imam beristifar panjang.
“Ni konsep trinity mana pulak yang kamu adopt ni yop?” Sampuk pula seorang lelaki bersongkok di sebelah tok imam. Pasti dia ni saksi untuk pernikahan yang bakal dijalankan.
“Ya pakcik-pakcik. Datuk T adalah kami bertiga. Tiga kami adalah seorang Datuk T,” Lelaki boroi membuat penjelasan.
“Kami tiga orang ni semuanya berpangkat Datuk.... kami bergabung supaya lebih power, macam Power Rangers, bila bergabung, depa jadi kuat. Kami pun begitu,” kali ini lelaki bermuka penjual mapiau bercakap pula.
“Ya, kami semua ni Datuk-Datuk...”
“Jadi, siapa yang patut kahwin dengan anak aku?” Kasar pertanyaan ayah Noni.
“Pak cik boleh tak cakap elok-elok sikit.... Pak cik tahu kami ni siapa?” Lelaki bertubuh kasar mula bercakap lagak orang besar.
“Ya, hormatlah sikit bila bercakap dengan kami, kami-kami ni berpangkat Datuk,” amaran lelaki muka penjual mapiau.
“OOOooo Datuk.... Kau ingat aku ni siapa pula?” Ayah Noni bertanya balik. Dia mula menyinga.
“Jangan pandang aku tak ada mata, aku pun Datuk jugak. Datuk W,” beritahu ayah Noni.
Datuk T terkedu. Sungguh tak disangka, penghuni rumah kayu usang macam tu pun ada pangkat Datuk. Mata Datuk T mula terlihat pingat kebesaran dan sijil yang terpamer indah di dalam almari pinggan mangkuk di rumah itu. Rumah Datuk W!
“Tok Imam.... Errr... Mana boleh kahwin paksa....” Lelaki bertubuh kasar beralih kepada tok imam.
“Apa tok imam?” Sergah tok imam.
“Datuk al-imam V, aku pun ada title Datuk jugak. Mestilah digunakan, baru afdhal,” sambung tok imam. Datuk V rupanya dia.
Mata Datuk T terkebil-kebil. Mereka tiga orang sedang memikirkan bagaimana nak escape situasi ini. Nampaknya mereka telah terjerat.
“Datuk L, tolong telefon kedai hiasan kahwin milik Datuk B,” Datuk W mengarahkan kepada seorang lelaki yang sedang bersandar pada tiang seri rumah. Datuk juga manusia selekeh ini!
“Alamak....telefon gua tak ada kredit lah. Datuk C, engkaulah tolong telefon,” Datuk L meng’out source’ tugas kepada kawannya.
“Ok Datuk, roger and out,” sampuk seorang lelaki. Semestinya dia Datuk C. Mak oiii...Dah ambik SPM ke belum dia ni....mudanya dah jadi Datuk. Mungkin rupa je muda, umur tua.
“Datuk W, telefon kedai Datuk B, lu nak gua pesan apa?” Tanya Datuk C.
“Minta tambah lagi 2 kerusi atas pelamin. Kita kahwinkan trinity ni sekaligus!” beritahu Datuk W.
Mendengar kahwin tiga orang sekaligus, Datuk T tersenyum kinky. Tersengih macam kerang busuk. Tetapi, tiba-tiba senyum kinkynya menjadi tawar. Setawar-tawarnya. Ini bukanlah idea foursome yang diidam-idamkannya selama ini. Dia mesti mencari jalan untuk escape.
Tiada jalan lain, kecuali kembali kepada hukum Allah.
Sekian.
** Jika terasa, hanya kebetulan. Ini cerita rekaan jiwa yang serabut dan marah semata-mata.