Prof. Datuk Dr. sentiasa casligas dan tidak pernah kenal erti jemu walaupun rambutnya sudah memutih di usia 76 tahun. Seharian dia menghabiskan masa di dalam makmalnya. Teori yang baru dijumpai mesti segera dibuktikan kebenarannya. Biarlah apa jua kata orang, Prof. Datuk Dr. tidak peduli. Dia berani menentang arus. Sia-sia saja dia bergelar Prof, doctorate lagi, dapat Datuk lagi kalau dia hanya duduk diam mengangguk dalam ceramah sahaja.
Bahan-bahan penting telah disediakan oleh Prof. Datuk Dr, tinggal untuk membancuhnya sahaja. Air kolah dari 8 buah masjid di setiap jajahan di Kelantan telah diperolehi. Tanah liat dari Jeli dan tanah pasir dari Bachok menjadi ramuan utama. Bunga keluduk dari Peringat dan miang buluh dari Ketereh pula menjadi ramuan penyeri.
Ramuan rahsia yang menentukan kejayaan ujikaji Prof Datuk Dr. tidak lain dan tidak bukan adalah lendir katak yang suka panggil hujan tak kira siang malam pagi petang kemarau hujan. Mujurlah setelah mencari seantero negara, lendir katak ini akhirnya dijumpai di tepi stadium mini Pasir Mas.
POOOMMMM!!!!!
Satu letupan agak besar berlaku apabila lendir katak sebagai bahan rahsia dimasukkan sebagai ingredient terakhir. Lengkaplah sudah pati rahsia ciptaan Prof Datuk Dr. Kini, tinggal untuk uji keberkesanannya sahaja.
Mengikut buku tebal rujukan utama Prof Datuk Dr, pati rahsia yang dihasilkannya boleh membuatkan seseorang muda remaja. Kembali casligas, kembali segar, kembali kembang. Namun barang diingat, ada kata-kata amaran sebagai nota kaki dalam buku rujukan itu, pengambilan oral perlu amat mengikut sukatan iaitu, satu SUDU TEH boleh mengembalikan keremajaan sehingga 40 tahun kebelakang.
Prof Datuk Dr mencari sudu teh. Tidak sabar dia mahu menguji pati ramuan rahsia ciptaannya.
"Mano pulok sudu teh ni. Maso oghe nok ni lah dio takdok. Sekalo berlambak..." Gerutu Prof Datuk Dr. setelah gagal mencari sudu teh.
Akhirnya Prof Datuk Dr hanya menjumpai sudu besar yang biasa.
|
Gambar hiasan |
"Sudu ni pun ok jugok. Janji sudu!" Kata Prof Datuk Dr.
.
Sesudu penuh pati rahsia ditelan Prof Datuk Dr dengan gelojoh. Tiba-tiba kepalanya berpusing, rasa macam migrain. Telinga rasa macam tiada, hidungnya rasa macam rebeh, matanya rasa macam nak keluar, berpinar. Fikirannya kachar, kachar, kachar! Tubuhnya semakin mengecil. Ya, dia sedang shrinking....
Ya, sesudu penuh pati ramuan rahsia telah menjadikan Prof Datuk Dr kembali muda belia. Kalau satu SUDU TEH, boleh kembali muda 40 tahun. Kini setelah minum pati rahsia satu SUDU BESAR, Prof Datuk Dr hanya mampu menelentang sebagai bayi berusia 6 bulan di lantai makmal.
Ya! Teori Prof Datuk Dr berjaya menjadikan dia kembali bayi. Nampaknya dia perlu bersunat sekali lagi.
.
**Cerita rekaan semata-mata. Kalau terasa, sendiri mahu ingat.