Tuesday, April 5, 2011

Maafkan Saya, Cikgu

Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi...
MRSMKB penuh nostalgia
Pemadam papan hitam kelas kami selalu saja ghaib. Ambil baru, ghaib. Ganti baru, ghaib. Tak ada orang lain yang empunya angkara, mesti budak kelas sebelah yang ambil. Kelas Faraday 2.

Jadi hari itu, sebelum kami semua ke makmal sains, aku mendapat idea untuk berbuat sesuatu untuk menangani krisis kehilangan duster di kelas kami.

Aku tulis satu nota dan masukkan ke dalam kotak kapur bersama duster. Lalu aku terus berlalu ke makmal sains.

Balik dari makmal sains, Cikgu Nik Roseny telah sedia menunggu di dalam kelas. Dia nampaknya baru selesai memadam papan hitam. Di tangannya menggenggam duster. Dan..... sehelai kertas.... Alamak.

"Siapa tulis ni?" Dia bertanya, serius.

Aku terus mengangkat tangan dan berdiri. Baik aku mengaku awal-awal. Aku yakin tiada siapa yang berani membohongi Cikgu Nik Roseny. Menentang matanya pun aku tak berani.

Cikgu Nik Roseny adalah cikgu yang terbaik yang pernah aku jumpa. Dia mengajar matematik moden. Ajarannya mudah, senang difahami. Dia seorang wanita yang cantik, bertudung labuh dan lemah lembut. Memang dia seorang muslimah sejati. Tetapi dia tegas. Aku tidak pernah lihat dia ketawa. Tetapi dia selalu tersenyum. Di kala peperiksaan, aku lihat, dia akan duduk di bucu kelas semasa murid-murid sedang menjawab soalan. Dia membaca surah Yaasin diam-diam di bucu kelas. Dia tidak membuang masa begitu sahaja. Murid-murid pun tak adalah berani meniru lebih-lebih bila cikgu mereka sedang tekun membaca Al-Quran.

"Maafkan saya, cikgu."

Belum apa-apa aku sudah mengaku kalah.

Cikgu Nik Roseny membaca nota di tangannya yang sah-sah ditulis oleh aku. Pastinya aku tujukan kepada pencuri duster bersiri dari Kelas Faraday 2.

"Hoi menatang! Jangan curi duster ini. Pergilah ambil sendiri di pejabat."

Begitulah ayat skema aku. Aku lihat Jenal dah mula mengekek dan sedang menahan ketawa yang lebih besar di dalam perutnya. Malunya aku tak usah cakaplah.

Cikgu Nik Roseny berceramah 2-3 minit kepada aku yang menunduk dan kuncup semacam pohon semalu yang baru disentuh. Selesai ceramah cikgu, barulah aku dibenarkan duduk.

Begitulah cara Cikgu Nik Roseny mendidik dan menghukum kami yang bersalah. Dia tidak pernah menjentik, apalagi merotan.  Al-Fatihah untuk seorang cikgu yang begitu baik.

10 comments:

  1. Assalamualaikum:)

    ..pastinya jasa guru kan terus dikenang !

    Al-fatihah...

    ReplyDelete
  2. penuh nostalgia gambar itu...

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. salam
    apa jenal jenal mengata gua ..mana tau gua suka sorok pemadam masa sekolah...

    alfatihah...

    ReplyDelete
  5. brutalsolo,
    gua dah agak, lu yang menjadi datuk T dalam kes duster tu. haha
    semacam dejavu bro...

    ReplyDelete
  6. Bro... gua menunggu entry ulasan panas 'video porno' ni....

    ReplyDelete
  7. bro gedek!
    gua kalau boleh malas sentuh bab videoT pornoT ni.

    ReplyDelete
  8. Salam, Thanks for sharing this story, was missing my mum and terdetik nak google nama dia..tak sangka nak jumpa kisah ni..semoga arwah mama tenang di sana...:)

    ReplyDelete

Komen anda dihargai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...